26,286 rumah bernilai RM18.3 bilion siap dibina tidak terjual - Akmal Nasir
Ridauddin Daud
November 15, 2023 11:15 MYT
November 15, 2023 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 26,286 unit rumah siap dibina dengan nilai RM18.3 billion didapati tidak terjual berdasarkan data awalan suku kedua tahun 2023.
Begitupun, Timbalan Menteri Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus dari segi jumlah unit berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
Menurutnya, dari aspek nilai juga, ia merekodkan penurunan sebanyak 0.6 peratus dalam tempoh sama.
Tambah beliau, kementerian melaksanakan beberapa usaha bagi memastikan isu tersebut selesai dengan pertama, melaksanakan pemetaan Indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah.
Jelasnya, pemetaan itu sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di lokaliti tertentu.
Kedua, menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan atau Feasibility Study sebelum sesuatu pemajuan dilaksanakan.
“Ia adalah bagi memastikan rumah yang dibina adalah berdasarkan kemampuan rakyat seterusnya mengelakkan rumah tersebut tidak terjual.
“Ketiga, kementerian sedang membangunkan Sistem Analitis Data Raya (Big Data Analaytics) Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan komited menggalakkan pembiayaan rumah menerusi inisiatif iBiaya di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP).
Menurutnya, jumlah keseluruhan jaminan diberi oleh kerajaan telah meningkat sejak skim tersebut dilaksanakan.
“Berdasarkan pengumuman Ekonomi MADANI baru-baru ini, jumlah keseluruhan jaminan yang diberi oleh Kerajaan telah meningkat kepada RM10 bilion sepanjang tempoh pelaksanaan SJKP ini.
“Di sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008 sehingga 30 September 2023, sebanyak 30,841 permohonan pinjaman bernilai RM5.85 bilion telah diluluskan.
“Seterusnya, Kerajaan Madani melalui Belanjawan 2024 telah mencadangkan untuk menambah lagi RM10 bilion jumlah jaminan bagi memanfaatkan 40,000 orang peminjam,” ujarnya.