250 pelajar terima manfaat program Kembali ke Sekolah 2023
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 31, 2022 16:02 MYT
Disember 31, 2022 16:02 MYT
TELUK AIR TAWAR: Seramai 250 pelajar kurang berkemampuan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Teluk Air Tawar di Pulau Pinang menerima bantuan persekolahan menerusi program Kembali ke Sekolah 2023 hari ini.
Program hasil inisiatif Angkatan Muda Keadilan Tasek Gelugor, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Yayasan Zuriat Care itu bertujuan meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak.
Ahli Majlis MBSP, Norli Masitah berkata, pelajar-pelajar tersebut menerima beg sekolah dan baucar peralatan persekolahan serta menggunting rambut secara percuma.
Sementara Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Zuriatcare, Mohsein Shariff pula berkata, bantuan persekolahan yang diberikan itu diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah selain meningkatkan motivasi setiap murid untuk kembali ke sekolah.
Menurutnya, peruntukan lebih RM6,600 disediakan pihaknya untuk Program Kembali ke Sekolah 2023 dan ia akan berterusan pada masa depan.
Beliau berkata, pemberian bantuan kepada golongan yang memerlukan merupakan usaha penganjur untuk mengelakkan berlaku lebih banyak keciciran dalam Pendidikan
“Jadi usaha yang dilakukan oleh komuniti di Bagan Belat ini di bawah Kadun Teluk Air Tawar merupakan satu usaha yang baik. Kami di Yayasan Zuriat Care sangat berbesar hati dapat memberi sumbangan.
“Kita merasakan kalau kita tidak membantu anak-anak dalam persekolahan dari segi fizikal dan mental, mereka tidak ada motivasi untuk meneruskan persekolahan… jadi menjadi tanggungjawab kami ini untuk membantu anak-anak ini dalam menyambung kembali persekolahan Tahun Baharu 2023,” kata Mohsein.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 90 pelajar di Dewan Bagan Belat, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, bagi ibu pelajar pula, bantuan yang diterima sangat membantu meringankan beban keluarga ketika ini.
“Alhamdulilah, dapat ringankan beban keluarga. Suami saya berkerja sebagai pengawal keselamatan, dapat bantuan seperti beg, baucar ini semua banyak membantu, sekarang ini ekonomi teruk tak tentu, ada program macam ini Alhamdulillah,” kata surirumah Sharifah Abdullah.
Bagi seorang lagi surirumah Intan Azila Md Hashim, program yang dianjurkan itu sangat-sangat melegakan penerima khususnya golongan yang berpendapatan rendah.