250 jenis pekerjaan bakal wujud pascaprojek empangan Nenggiri
Pia Ernadya
Ogos 21, 2024 08:45 MYT
Ogos 21, 2024 08:45 MYT
NENGGIRI: Sebanyak 250 peluang pekerjaan akan dibuka kepada warga tempatan dan juga masyarakat Orang Asli sebaik selesai pembinaan empangan Hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang dianggarkan siap sepenuhnya pertengahan tahun 2027.
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Ir Muhammad Nazri Pazil berkata, peluang pekerjaan itu disediakan bertujuan untuk membantu mengoperasikan stesen tersebut dan antaranya merangkumi dalam bidang kejuruteraan, pengurusan, juruteknik, pekerja separuh mahir dan juga mahir.
"Pada masa pembinaan akan ada 2,000 pekerja diperlukan buat setakat ini. Setelah projek ini siap dalam proses operasi, kita akan perlukan tenaga kerja sekitar 200 hingga 250 orang.
"Bilangan tenaga kerja yang diperlukan itu adalah untuk mengoperasikan stesen ini (seperti) jurutera, pengurusan, juruteknik, semi skilled dan juga unskilled worker.
"Jadi di mana-mana peringkat boleh masuk dan (jika bersesuaian) kita akan ambil sebagai pekerja," jelasnya kepada media selepas taklimat mengenai Projek Hidroelektrik Nenggiri di Pejabat tapak bina Hidroelektrik Nenggiri pada Selasa.
Pada masa sama, Muhammad Nazri menegaskan, Orang Asli yang terlibat dalam pemindahan penempatan sepanjang projek Hidroelektrik Nenggiri ini berjalan khususnya yang tidak mempunyai kelayakan akademik dan kemahiran teknikal juga berpeluang untuk mengisi jawatan sokongan.
Menyentuh penempatan semula Orang Asli, beliau berkata, hanya tiga kampung daripada 118 kampung yang terkesan secara langsung dan antaranya ialah Pos Tohoi, Pos Pular dan Kampung Kuala Wias.
Mengulas lanjut, penduduk yang terkesan ini, jelasnya, masih lagi berada di kawasan asal mereka tetapi beliau menjangkakan proses pemindahan penduduk bakal bermula sekitar pertengahan tahun 2026.
"Pada masa ini, Orang Asli yang terlibat dengan projek ini masih berada di kawasan kampung mereka dan kita jangka dalam pertengahan 2026, mereka akan dipindahkan sebelum pihak kami bertindak untuk menaikkan air di empangan Neggiri ini.
"Jadi, setakat ini, masih lagi belum ada apa-apa impak. Tetapi kita sudah sediakan penempatan baharu untuk mereka. Sekarang, proses berada di tahap 40 peratus dan beberapa rumah contoh sudah siap ... Insya-Allah mereka pun boleh pergi melihat sendiri."
Projek Hidroelektrik Nenggiri adalah projek untuk menjana tenaga elektrik melalui tenaga air dan hidro yang mana TNB melaksanakan projek ini sebahagian daripada strategi Kerajaan untuk mempertingkatkan penjanaan tenaga dari Tenaga Boleh Baharu (TBB).
Projek tersebut bukan sahaja akan memberikan impak sosio-ekonomi yang positif kepada negeri Kelantan seperti menjana ekonomi setempat bagi industri pelancongan, perikanan dan pertanian, tetapi juga inisiatif untuk menangani masalah banjir yang kerap dihadapi oleh negeri tersebut.
Sehingga Jun 2024, tahap kemajuan projek telah mencapai hampir 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2027.