25 taman ekorimba dikenalpasti kawasan berisiko bencana aliran puing - DPPC

Israr Khalid
Disember 13, 2022 08:50 MYT
Penduduk di hilir sungai dinasihatkan untuk membuat persiapan sebaiknya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: 25 taman ekorimba di seluruh negara dikenalpasti sebagai kawasan berisiko dilanda bencana aliran puing dan tanah runtuh apabila berlaku hujan lebat, yang kini berada di kemuncak musimnya.
Ia akan menyebabkan banjir lumpur dengan arus deras ke kawasan penempatan di hilir sungai, lantas penduduk di situ dan sekitarnya diingatkan supaya berwaspada dan bersiap siaga untuk mendepani sebarang kemungkinan.
Kata Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana, DPPC (UTM) Khamarrul Azahari Razak, ia disebabkan lembangan sungai terbabit tidak dapat menampung kadar hujan yang begitu lebat kesan perubahan iklim dunia hari ini.
LAMAN KHAS BANJIR
“Sebagai contoh kalau kita amati pada Disember tahun lepas, Taufan Rai hadir membaa jumlah air yang amat besar dalam masa yang singkat yang mana sebahagian besar kawasan-kawasan lembangan kita tak mampu menampung.
“Bahaya-bahaya sedia ada, empangan sementara, batu-batu, lumpur dan puing-puing ini menunggu masa sebenarnya,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Dapatan lokasi berpotensi itu katanya adalah hasil program pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti yang dijalankan bawah pembiayaan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Jelas Khamarrul, ia merupakan sejenis bencana yang bukan pertama kali namun ada kitarannya dan kini ia besar kemungkinan akan datang kembali.
“Sebagai contoh di Setiu, Terengganu di mana kejadian tragedi terakhir direkodkan di situ adalah pada 2004.
“Jadi 20 tahun sudah, ini kitaran bencana yang kita pasti perlu tingkatkan tahap kesiapsiagaan penduduk menghadapi bencana yang berskala besar,” katanya.
25 taman ekorimba dikenalpasti kawasan berisiko bencana aliran puing - DPPC
#banjir #Taman Ekorimba #bencana aliran puing #tanah runtuh
;