25 peratus kes harian pada Julai di Sarawak melibatkan individu bawah 18 tahun
Munirah Mudzamli
Ogos 3, 2021 20:15 MYT
Ogos 3, 2021 20:15 MYT
KUCHING: Sebanyak 25 peratus daripada kes harian baru yang dilaporkan pada bulan Julai 2021 melibatkan individu berumur di bawah 18 tahun secara purata.
Golongan ini belum layak menerima imunisasi COVID-19 berdasarkan polisi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada masa ini dan amat berisiko terdedah kepada jangkitan serta komplikasi penyakit COVID-19.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, walaupun kadar positif menunjukan penurunan tetapi bilangan kes yang tinggi masih boleh dikesan.
"Sebanyak 228,084 sampel telah diambil bagi ujian COVID-19 di Sarawak, menjadikan kadar positif kes COVID-19 pada bulan Julai 2021 adalah 5.21 peratus. Kadar positif ini merupakan penurunan berbanding 5.97 peratus pada bulan Jun 2021.
"Walaupun kadar positif adalah menurun tetapi bilangan kes yang tinggi masih dikesan terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian,"" katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelas Mohamed Sapian, angka tersebut susulan daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif melalui saringan kontak kepada kes positif serta saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) yang telah dilaksanakan.
"Ini menunjukkan masih terdapat transmisi jangkitan di kalangan komuniti, maka, aktiviti pencegahan, kawalan dan saringan akan terus dipergiatkan," katanya.
Tambah Sapian, sehingga 2 Ogos 2021, Sarawak telah mencapai liputan imunisasi COVID- 19 yang tinggi dalam kalangan semua populasi dewasa yang layak iaitu sebanyak 87.3 peratus bagi dos pertama dan 69.2 peratus bagi dos kedua.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut mengingati orang ramai untuk terus patuh dan memberikan kerjasama bagi memastikan situasi COVID-19 di Sarawak terkawal menjelang peralihan ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Rabu.