25 penumpang berdepan detik cemas, bas dinaiki terbakar di R&R

Aida Aziz
Mac 2, 2023 18:54 MYT
Seramai 25 orang penumpang termasuk pemandu bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka musnah terbakar di hentian rehat dan rawat (R&R) Ladang Bikam, hari ini. - Foto JBPM Perak
BIDOR: Seramai 25 orang penumpang termasuk pemandu bas ekspres berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka musnah terbakar di hentian rehat dan rawat (R&R) Ladang Bikam, di sini hari ini.
Menurut Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Pegawai Bomba Kanan II Nor Azhan Noor Fauzi, bas yang terbakar sebanyak 80 peratus itu dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Cameron Highlands.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.19 petang, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dengan dibantu BBP Slim River dan BBP Tapah bergegas ke lokasi.
"Kebakaran membabitkan sebuah bas ekspres jenis Nissan, seramai 24 penumpang dan seorang pemandu berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Beliau menambah, operasi pemadaman menggunakan dua aliran hose reel dari air tangki jentera BBP Bidor dan satu aliran hose reel dari jentera BBP Slim River.
Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada jam 5.30 petang.
#bas ekspres terbakar #JBPM Perak #Hentian Rehat dan Rawat #Ladang Bikam
;