'25 murid dalam kelas adalah munasabah, selebihnya beri kesan' - Pakar
Pia Ernadya
Mac 13, 2024 17:50 MYT
Mac 13, 2024 17:50 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian dari luar negara bahawa kononnya bilangan murid yang ramai dalam kelas tidak mempengaruhi keberkesanan pengajaran adalah tidak tepat.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata bilangan murid yang munasabah di dalam sesebuah kelas sebenarnya adalah 25 orang.
Menjelaskan lanjut, Anuar berkata, kajian itu yang disuarakan oleh sesetengah pihak berhubung isu kesesakan kelas, tidak boleh dijadikan perbandingan dengan situasi di negara ini.
"Saya sempat membaca sendiri kajian tersebut yang dirujuk dari Kanada tetapi ia tidak tepat kerana perbandingan angkanya.
"Yang dimaksudkan dengan bilangan murid yang ramai itupun tak lebih 30 orang. Kajian tersebut membandingkan 20 dan 30 orang murid... dan memanglah tidak akan mempengaruhi sebab optimum angka yang terbaik untuk kelas adalah 25 orang.
"Tapi kalau (perbezaan) 20 dengan 50 orang, cubalah pergi buat (kajian) sendiri sama ada ia berkesan ataupun tidak berkesan.
"Saya masih ingat pengalaman saya sebagai seorang guru di mana saya dapat kelas di sekolah menengah yang ada seramai 40 orang.
"Saya rasa tidak terkawal kerana kita perlu memberikan perhatian kepada semua murid apatah lagi kalau murid sekolah rendah seperti murid Tahun Satu," katanya ketika mengulas mengenai isu kesesakan murid dalam kelas melalui siaran video di Facebook.
Menjelaskan lanjut, Anuar berkata, keadaan ini bukan kelemahan mana-mana pihak kerana isu sekolah sesak berlaku di mana-mana sahaja disebabkan faktor pertumbuhan bandar yang sekali gus menambah bilangan penduduk.
Tambahnya lagi, walaupun bilangan murid yang munasabah dalam sebuah kelas adalah 25 orang murid, realiti keadaan semasa di sekolah awam adalah melebihi daripada jumlah berkenaan.
"... keberkesanan kepada proses pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) akan merosot disebabkan guru tidak mampu menguruskan bilik darjah yang besar.
"Guru ada banyak silibus yang ingin disampaikan. Dan guru juga perlu buat aktiviti tetapi dalam keadaan bilik darjah yang terlalu sempit dan sesak dengan murid, jadi mereka tidak dapat lakukan aktiviti dengan lebih berkesan."