25 anggota IPD Kota Kinabalu positif COVID-19

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 24, 2020 16:45 MYT
Ada antara anggota polis terbabit mendapat jangkitan daripada ahli keluarga selain ketika bertugas. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Seramai 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu disahkan positif COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) dilaksanakan di Sabah pada 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bagaimanapun setakat ini lebih 15 anggota sudah sembuh dan menjalankan tugas seperti biasa.
Katanya, masih terdapat beberapa anggota yang belum pulih sepenuhnya termasuk yang sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I.
"Kebanyakan mereka sudah berjaya pulih. Ada antara mereka dijangkiti daripada ahli keluarga tanpa disedari, ada yang dapat di tempat kerja, sekatan jalan raya dan sebagainya.
"Alhamdulillah, keadaan terkawal kerana sebaik anggota yang dijangkiti dikenal pasti, tindakan segera diambil dengan membuat ujian saringan terhadap kontak rapat dan mengarahkan mereka menjalani kuarantin.
"Keadaan ini tidak menjejaskan operasi dan penugasan anggota di IPD Kota Kinabalu yang mempunyai kekuatan 1,217 orang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan operasi bersepadu bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Inanam pada Selasa.
Dalam operasi tersebut sebanyak lima premis yang disyaki menjalankan permainan judi dalam talian diserbu sebelum SESB bertindak memotong bekalan elektrik di premis terbabit.
Tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut selepas ini akan turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).
#anggota polis #IPD Kota Kinabalu #positif #COVID-19 #barisan hadapan #Sabah #Sekatan Jalan Raya #Habibi Majinji
;