25,142kg karkas babi berpenyakit ASF dirampas, dilupus di Perak
Abd Razak Mohd Ali
Disember 1, 2023 11:40 MYT
Disember 1, 2023 11:40 MYT
IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak merampas 25,142 kilogram karkas babi yang disahkan positif penyakit demam babi Afrika atau 'African Swine Fever' (ASF), bulan lepas.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak A Sivanesan berkata, rampasan dibuat menerusi serbuan di dua premis sejuk beku di Menglembu, di sini, pada 22 Nov lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati karkas babi itu tidak disembelih di rumah sembelihan yang diluluskan oleh jabatan.
“Karkas yang terlibat juga menunjukkan tanda klinikal penyakit ASF dan persampelan yang dihantar disahkan positif penyakit ASF oleh Makmal Institut Penyelidikan Veterinar Ipoh pada 23 Nov 2023.
“Kesemua karkas babi itu dirampas dan disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri Perak di sini, hari ini.
Menurut Sivanesan, kesemua karkas itu dilupuskan pada 28 dan 29 Nov lalu selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret Ipoh.
Katanya, tindakan pembasmian kuman keseluruhan premis juga turut dijalankan.
Tambahnya, pengusaha premis didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Binatang 1953, Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyelembihan) 2009 iaitu memiliki karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau dilesenkan.
“Tindakan pemilik premis menyimpan dan menjual karkas babi berpenyakit ASF akan menyebabkan penyakit ini terus merebak dan mengancam industri penternakan babi di negeri dan negara ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Sivanesan, ASF hanya menjangkiti spesis babi dan tidak menjangkiti manusia.