240 pengembara VTL Udara selamat tiba di Malaysia
Ridauddin Daud
November 29, 2021 11:45 MYT
November 29, 2021 11:45 MYT
SEPANG: Seramai 240 pengembara dari Singapura yang menggunakan skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Udara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Mereka yang menaiki pesawat SQ108 tiba di KLIA pada jam 9.25 pagi dan ketibaan mereka disambut Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry ketika ditemui dalam majlis meraikan penumpang tersebut nyata berpuas hati dengan semua proses dilaksanakan, bermula daripada ketibaan sehinggalah bergerak mengambil ujian saringan COVID-19.
"Ini merupakan penerbanyan bersejarah kerana selama ini kita tahu bahawa antara Singapura dan Kuala Lumpur, ia merupakan sektor yg paling sibuk dalam dunia dan hari ini kita menyaksikan balik penerbangan dapat dilakukan.
"Jumlah penumpang yang begitu besar. Dari segi proses dilakukan, kita harap penumpang yang sampai di sini berpuas hati dengan layanan dan proses yang mereka perlu lalui.
"Kita akan baiki dari semasa ke semasa. Mungkin ada halangan-halangan yang melambatkan proses itu dan kita akan kemukakan kepada pihak berwajib," katanya.
Ketika ditanya persediaan MAHB untuk menerima lebih ramai pengembara selepas ini, Zambry menegaskan pihaknya sudah bersedia sepenuhnya.
"Kita sentiasa bersiap sedia menerima kedatangan pelancong dan juga penumpang dari serata dunia.
"Seperti mana kita sedia maklum, KLIA merupakan salah satu daripada lapangan terbang terkenal di dunia malah terkini, kita adalah yang terbaik dari segi pengurusan.
"Dari segi persiapan, kita telah bersiap sedia dan kita buat jangkaan-jangkaan daris egi kedatangan (jumlah pengembara)," ujarnya.
VTL Darat antara Malaysia dan Singapura akan bermula selari dengan pelancaran VTL Udara pada 29 Nov ini dan dihadkan kepada pengangkutan bas dengan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan.
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum ini berkata, dalam mengadakan VTL, Malaysia menumpukan pada negara jiran terdekat dahulu sebelum memperluaskannya kepada negara lain.
Skim VTL darat akan dimulakan serentak dengan VTL udara pada 29 Nov, membolehkan mereka yang lengkap divaksin melakukan perjalanan antara kedua-dua negara tanpa perlu menjalani kuarantin.