24 keluarga setinggan di Pandan Jaya sambut Deepavali di rumah baharu
Bernama
Oktober 13, 2019 18:05 MYT
Oktober 13, 2019 18:05 MYT
Sambutan perayaan Deepavali tahun ini lebih 'bercahaya' bagi 24 keluarga yang menerima rumah transit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila mereka bakal meraikannya di rumah yang lebih selesa.
Mereka yang sebelum ini tinggal di rumah setinggan di Pandan Jaya menerima kunci kediaman baharu di PPR Taman Muhibbah daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Ahad.
Keluarga itu adalah antara 40 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam beberapa insiden kebakaran melibatkan kawasan perumahan setinggan di Pandan Jaya.
Menyifatkan pemberian kunci rumah transit itu sebagai hadiah istimewa menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut 27 Okt ini, S. Jayamani, 25, berkata perasaan lega dan gembira itu tidak dapat digambarkan kerana mereka kini mempunyai rumah dan tidak perlu menyambut Deepavali di dewan transit selepas rumah mereka terbakar.
"Perasaan gembira sangat, sebab kami boleh beraya di rumah baharu. Ada elektrik, ada rumah sempurna yang kami sekeluarga boleh tinggal... walaupun mungkin tidak semewah orang lain tapi kami satu keluarga di sini dan sama-sama akan sambut Deepavali, tak payah sambut di dewan transit," katanya selepas menerima kunci rumah itu.
Beberapa kejadian kebakaran dilapor di kawasan penempatan setinggan itu, iaitu pada 30 Mei tahun lepas membabitkan 25 rumah; 6 Jan lepas melibatkan dua buah rumah; 25 Mei lepas melibatkan 10 rumah; dan terbaru pada 17 Jun melibatkan lapan rumah.
Berkongsi kegembiraan, T. Yuganathan, 34, yang turut teruja menerima kediaman yang mempunyai keperluan asas mencukupi selain dianggap sempurna baginya sekeluarga.
Bapa kepada dua anak itu berkata kediaman yang diterima itu memberi kelegaan bagi dirinya setelah terpaksa tinggal di Dewan Pandan Jaya sejak lima bulan lepas setelah rumah di kawasan setinggan itu terbakar pada Mei lepas.
"Susah hidup di dewan lima bulan, tapi bila sudah terima rumah ini, saya lega sangat... ada rumah sudah cukup untuk saya berkumpul dengan keluarga saya, makan-makan raya (Deepavali) nanti," katanya.
Terdahulu, Dr Wan Azizah menyerahkan kunci dan surat tawaran kepada penerima yang layak bagi mendiami rumah PPR DBKL itu selama tiga tahun.
-- BERNAMA