24 jam selepas tragedi HSA: Forensik kebakaran diteruskan, pelbagai aspek diteliti
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 26, 2016 10:16 MYT
Oktober 26, 2016 10:16 MYT
Operasi forensik kebakaran oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini diteruskan pagi ini.
Seramai lapan anggota terlibat dalam mencari bahan bukti serta mengenal pasti punca kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Dalam temubual bersama Astro AWANI semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Johor, Mohd Rizal Buang berkata anggota forensik kebakaran yang berpengalaman dalam pelbagai bidang akan mengumpul bukti sebelum dibawa ke makmal untuk kajian forensik seterusnya.
"Mereka akan kumpul apa sahaja barangan yang berkemungkinan menjadi punca kepada kebakaran.
"Setelah itu, semua bahan bukti itu akan dibawa ke makmal dan kami akan menganalisa sebelum mengeluarkan laporan penuh berkenaan punca kejadian," kata Mohd Rizal.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Soiman Jahid berkata, pelbagai aspek akan diteliti JBPM dalam kejadian ini.
"Kita akan meneliti dalam pelbagai aspek termasuk litar pintas, kerosakan peralatan elektronik perubatan dan lain-lain lagi.
"Buat masa ini saya nasihati kepada mereka di luar sana untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan kita akan keluarkan laporan penuh secepat mungkin," katanya kepada Astro AWANI.
Mengikut standard prosedur operasi, JBPM akan menyiapkan laporan penuh kebakaran dalam tempoh 14 hari selepas kejadian berlaku.
Namun laporan itu boleh disiapkan sama ada lebih cepat atau lebih lambat, bergantung kepada situasi, keluasan serta tahap kebakaran yang berlaku.
#Datuk Soiman Jahid
#forensik
#Hospital Sultanah Aminah
#Jabatan Bomba dan Penyelamat
#Mohd Rizal Buang