24,708 kenderaan disaman dalam Op Tahun Baharu Cina

Bernama
Februari 1, 2022 11:26 MYT
Zailani Hashim (dua, kiri) bersama anggota memeriksa sistem brek dan stereng sebuah bas ekspres bagi laluan perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan saman terhadap 24,708 kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan sepanjang penguatkuasaan Op Tahun Baru Cina (Op TBC) 2022 dalam tempoh enam hari, sejak 25 Jan lepas.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata saman dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 67,265 kenderaan dengan kekuatan anggota lebih 2,200 pegawai dan anggota yang melakukan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara.
Katanya, menerusi Op TBC itu, pihaknya turut mendapat kerjasama dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen (JIM), pihak konsesi lebuh raya (Plus Sdn Bhd) dan sebagainya.
"Metodologi penguatkuasaan dibuat menerusi rondaan, pemeriksaan bas di terminal dan depoh, penyamaran sebagai penumpang bas, rakaman video kesalahan melalui Dash Cam Enforcement Action Camera (EAC), mesin penimbang mudah alih, Smart Enforcement Device (SmED) dan aset lain berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi penguatkuasaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2022 JPJ Kelantan di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini malam tadi.
"Antara kesalahan yang dilakukan pemandu ialah tiada lesen memandu dan lesen memandu tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar, gagal mematuhi lampu isyarat, lebih muatan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya," katanya.
Mengulas lanjut, Zailani berkata pihaknya turut memberi fokus kepada pemeriksaan bas di depoh dan terminal awam dengan sasaran untuk pengurangan kenderaan yang tidak mencapai tahap 'layak dipandu di jalan' dan pemandu pertama serta kedua bebas pengaruh dadah untuk pemanduan selamat.
Katanya, setakat dalam Op TBC 2022 juga, empat pemandu bas dikesan gagal pemeriksaan saringan ujian air kencing kerana disyaki terlibat dengan pengaruh dadah.
"Saya tegaskan mereka (pemandu bas) harus bebas daripada sebarang bentuk pengaruh dadah. Malah, atas dasar itu juga, pihak AADK akan melakukan saringan terhadap pemandu sebelum dapat memulakan pemanduan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya dan mengambil langkah kawalan kendiri bagi mengurangkan risiko kemalangan.
"Jika mengikut trend, ketika musim perayaan sebelum ini hampir setiap hari tidak kurang 200 kes kemalangan berlaku sama ada membabitkan kenderaan awam, persendirian mahupun motosikal walaupun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya menambah di Kelantan terdapat 10 lokasi panas kerap berlaku kemalangan.
-- BERNAMA
#saman #JPJ #Op TBC #zailani hashim
;