239 kes bom ikan, penguatkuasa berdepan cabaran
Harits Asyraf Hasnan
November 6, 2019 13:23 MYT
November 6, 2019 13:23 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) merekodkan sejumlah 239 kes tangkapan ikan menggunakan ‘bom ikan’ sejak 2014.
Timbalan Menterinya Sim Tze Tzin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 36 kes sudah didakwa di mahkamah, yang majoritinya berlaku di perairan Sabah.
“Penggunaan bahan letupan untuk menangkap ikan di laut boleh memusnahkan batu karang yang menjadi habitat hidupan laut membiak.
“Kegiatan ini adalah salah di sisi undang-undang dan menjejaskan sumber perikanan,” katanya menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad bertanya MOA mengenai tindakan yang diambil terhadap nelayan yang menggunakan bom ikan untuk menangkap ikan di laut.
Sim berkata, mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985, kaedah menangkap ikan menggunakan bom ikan adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Jelasnya, pihaknya berdepan cabaran dalam penguatkuasaan lantaran laut yang luas, selain aktiviti haram itu dilakukan pada waktu malam dan jauh di tengah laut.
#batu karang
#bom
#bom ikan
#Dewan Rakyat
#haram
#hidupan laut
#letupan
#mahkamah
#maut
#nelayan
#penjara
#Sabah
#Sim Tze Tzin
#undang-undang