234 rakyat Malaysia terkandas di Arab Saudi tiba di tanah air

Bernama
Julai 3, 2020 00:32 MYT
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata kesemua mereka berangkat pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh pada 2 Julai. - BERNAMA
Seramai 234 rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas di Arab Saudi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.51 tengah hari Jumaat.
Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata kesemua mereka berangkat pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid, Riyadh pada 2 Julai pukul 11.47 malam waktu tempatan di Riyadh menggunakan penerbangan repatriasi Saudia Airlines.
"Kepulangan kumpulan warganegara Malaysia berkenaan telah dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, dengan kos pembiayaan ditanggung secara persendirian oleh para penumpang," menurutnya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Kamarudin berkata, selaras dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, mereka diwajibkan menjalani proses saringan kesihatan setibanya di KLIA serta perlu menjalani proses kuarantin 14 hari di kediaman masing-masing.
Pada masa sama, katanya Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan meneruskan pemantauan situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia di Arab Saudi.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #kerajaan #KLIA #kuarantin #penerbangan #rakyat Malaysia #Saudia Airlines
;