230,000 perwakilan catur pucuk pimpinan sayap UMNO
Bernama
Oktober 12, 2013 08:00 MYT
Oktober 12, 2013 08:00 MYT
Kira-kira 230,000 perwakilan daripada tiga sayap UMNO akan memilih pucuk pimpinan mereka di peringkat bahagian dan pusat apabila Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berlangsung serentak di 191 bahagian Sabtu.
Perjalanan mesyuarat itu pastinya menjadi tumpuan anggota parti dan pemerhati politik tanah air kerana pemilihan ini merupakan kali pertama membabitkan lebih ramai anggota parti di peringkat akar umbi diberi hak untuk menentukan siapa memimpin mereka untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Pemilihan yang menggunakan sistem 'Electoral College" itu berlangsung susulan pindaan Perlembagaan parti yang dibuat pada 2009 bertujuan untuk memberi suara lebih besar kepada anggota parti daripada 191 bahagian dalam memilih kepimpinan parti ke arah menjadikan UMNO lebih telus dan demokratik.
Selain itu, pembaharuan dalam proses transformasi itu juga bertujuan membendung gejala politik wang yang dilihat menjadi barah di dalam parti tonggak Melayu itu.
Proses pemilihan Sabtu akan dimulakan dengan mesyuarat perwakilan bagi setiap sayap sebelum ditangguhkan untuk proses pemilihan jawatankuasa bahagian dan Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di peringkat pusat.
Ia akan menyaksikan 110,765 perwakilan Wanita, kira-kira 70,000 Pemuda dan kira-kira 50,000 Puteri melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memberi mandat baharu bagi memastikan kesinambungan kepimpinan sayap parti itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2013 Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, pemilihan sayap parti Sabtu akan menyaksikan 51 calon Wanita layak bertanding di peringkat pusat dan 6,758 calon di peringkat bahagian.
Pemilihan pergerakan Pemuda pula menyaksikan 94 calon layak bertanding merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat selain 7,125 calon layak di peringkat bahagian.
Pergerakan Puteri UMNO membabitkan 35 calon bertanding di peringkat pusat dan 4,955 calon di peringkat bahagian.
Menariknya hari ini ialah persaingan sengit antara calon-calon yang bertanding, khususnya bagi jawatan nombor satu dan nombor dua dalam ketiga-tiga sayap itu.
Pergerakan Wanita menyaksikan penyandang Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dicabar dua calon iaitu Raihan Suleiman Palestin dan Datuk Maznah Mazlan, manakala penyandang Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berdepan cabaran lima penjuru.
Jawatan Ketua Puteri pula menyaksikan pertembungan Mas Ermieyati Samsudin dan Jamilah Hanim Othman, dua muka baharu yang menaruh harapan mengisi kekosongan kerusi itu yang sebelum ini disandang Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang tidak bertanding kerana telah melepasi had umur.
Menurut Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh, keputusan pemilihan Sabtu dijangka diketahui seawal 8 malam, sekiranya kesemua proses pemilihan berjalan lancar.