23 struktur binaan haram Hutan Simpan Bukit Lagong dimusnahkan
Raja Hisyam Raja Zaid
September 28, 2021 18:31 MYT
September 28, 2021 18:31 MYT
GOMBAK: Sebanyak 23 struktur binaan haram termasuk kediaman, pondok serta pelbagai jenis tanaman dimusnahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dalam operasi bersepadu yang dilakukan di Hutan Simpan Bukit Lagong pada Selasa.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi Hutan), JPNS Norddin Noor, lebih 14 hektar hutan simpan di kawasan tersebut telah diceroboh sejak lebih 20 tahun lalu.
“Mereka meneroka hutan dengan menebang pokok-pokok yang ada untuk membuka kebun. Mereka tanam durian dan tanaman kontang dan sebagainya. Mereka juga membuat kediaman selain pondok-pondok dan juga kolam ikan.
“Hari ini sebanyak 23 struktur binaan terdapat di sini dan kita telah musnahkan sebanyak 13 struktur untuk hari ini sahaja selain empat kolam ikan dan bakinya kita akan sambung esok,” katanya kepada media petang tadi selepas menyertai operasi tersebut.
Beliau mengingat kepada mereka yang tidak bertanggungjawab agar menghentikan aktiviti penerokaan haram di semua hutan simpan di negeri Selangor kerana ia merosakan ekosistem dan membahayakan keselamatan awam.
Selain itu, beliau turut memberi amaran pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penceroboh tersebut.
Jelas Norddin, juga pihak JPNS juga mengakui kawasan hutan simpan yang terletak di pinggir penempatan dan bandar sering menjadi mangsa aktiviti pencerobahan haram.
Menurutnya pihaknya akan terus memantau semua aktiviti di semua hutan simpan di negeri itu dari semasa ke semasa.
“Semua tanah hutan simpan yang terdapat di Selangor ini tidak akan sesekali diberi hak milik. Buat mereka yang ingin cuba mendapatkan hak milik tanah-tanah ini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor ingin berpesan ia tidak akan berlaku,” tegasnya.
Tambah beliau, mereka yang didapati bersalah menceroboh bakal berdepan dengan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan juga penjara.
#struktur binaan haram
#Jabatan Perhutanan Negeri Selangor
#Hutan Simpan Bukit Lagong
#Norddin Noor
#ceroboh hutan