23 penduduk diselamatkan selepas 4 jam terperangkap kerana banjir di Sandakan
Radhi Muslim
Januari 15, 2019 14:54 MYT
Januari 15, 2019 14:54 MYT
Seramai 23 penduduk Kampung Pertanian Garinono, dekat Batu 25, terperangkap di rumah kira-kira empat jam akibat banjir kilat, pagi Selasa.
Dalam kejadian jam 6.57 pagi itu, semua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan pihak bomba dan penyelamat serta ditempatkan kawasan selamat.
Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Anddre Andrew berkata, pihaknya terpaksa menggunakan bot penyelamat dalam operasi berkenaan.
"Pada jam 11.19 pagi semua mangsa daripada tiga buah rumah yang terperangkap akibat banjir berjaya dibawa ke tempat selamat.
"Mereka ditempatkan di Masjid Nurul Iman kampung berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, keadaan banjir dilaporkan mula surut setakat jam 1 tengah hari.
Terdahulu, daerah ini dilanda hujan lebat sejak semalam sehinggalah pagi Selasa dan beberapa kawasan jalan raya serta kampung turut dinaiki air.
Anddre berkata, jalan raya menuju ke Kampung Bahagia turut terjejas selepas terdapat tanah runtuh.
"Tanah runtuh menyebabkan jalan raya tertutup dan tidak dapat dilalui dan pihak berkaitan sudahpun menjalankan kerja pembersihan," katanya.
Dalam pada itu, pada jam 9.45 pagi, sebuah bas terbabas di Jalan Cecily.
Menurut Anddre, kemalangan membabitkan empat orang mangsa dan seorang daripada mangsa itu dikeluarkan anggota dari bas tersebut akibat tersepit.
"Tiga lagi dikeluarkan orang awam dan semuanya dikejarkan ke Hospital Sandakan serta dilaporkan selamat," katanya.
#air
#banjir
#bas
#bomba
#Hospital
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#kemalangan
#mangsa
#operasi
#rumah
#Sandakan
#tanah runtuh