23 ladang ternak babi dijangkiti ASF

Bernama
Januari 28, 2023 17:40 MYT
Sebanyak 23 ladang ternak babi di Pulau Pinang dikesan dijangkiti penyakit African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika sehingga hari ini dan membabitkan 53,275 ekor babi yang terdapat di ladang tersebut. - Gambar fail
BATU KAWAN: Sebanyak 23 ladang ternak babi di Pulau Pinang dikesan dijangkiti penyakit African Swine Fever (ASF) atau demam babi Afrika sehingga hari ini dan membabitkan 53,275 ekor babi yang terdapat di ladang tersebut.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sehingga semalam, sebanyak 7,998 ekor babi telah dimusnahkan dari enam ladang ternakan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) yang didapati positif ASF.
"Setakat ini, jumlah pecahan ladang yang dijangkiti ASF ialah 17 ladang di daerah SPS melibatkan 42,691 ekor babi, dua ladang di SPT( 2,742 ekor) dan di Seberang Perai Utara (SPU) melibatkan empat ladang dengan populasi babi 7,842 ekor.
"Semua babi yang telah dimusnahkan ditanam di kawasan SPS namun ia jauh dari penempatan awam dan lokasi yang tiada pembangunan bagi mengelak berlakunya kacau ganggu kepada orang awam di kawasan yang terlibat, kami juga sekarang ini tengah cari tapak di SPU untuk menanam babi di situ," katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 Ahli Parlimen Batu Kawan, di sini hari ini.
Chow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan ASF di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Chow berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang dengan bantuan pihak berkuasa tempatan dilihat dapat menangani isu ASF itu terutama berkaitan pelupusan babi di tapak yang disediakan.
Katanya JPV Pulau Pinang juga mendapat bantuan dua pasukan JPV dari Putrajaya dalam menjalankan semua tugas-tugas berkaitan ASF termasuk persampelan dan memusnahkan babi yang dijangkiti ASF atau telah mati kerana penyakit itu.
"Bagi ladang-ladang yang telah sempurna (babi dimusnahkan), JPV Pulai Pinang sudah kemukakan kepada JPV Putrajaya untuk memohon pampasan, bagi minggu lepas situasi jangkitan ASF stabil walaupun terdapat ladang baharu dijangkiti iaitu dua ladang namun kami tidak menolak kemungkinan jangkitan ASF akan terus bertambah," katanya.
Katanya berdasarkan bancian yang dijalankan ketika ini terdapat 124 ladang babi di empat daerah di Pulau Pinang dengan populasi keseluruhan ternakan tersebut sebanyak 267,348 ekor.
"Sehingga kini, masih terdapat 101 ladang babi yang belum dijangkiti penyakit ASF dengan populasi sekitar 214,073 ekor iaitu 35 ladang di SPS dengan jumlah 97,104 ekor, 60 ladang di SPU (100,600 ekor), dua ladang di SPT (5,539 ekor) dan empat ladang di Barat Daya (10,830 ekor)," katanya.
Katanya penternak dari ladang-ladang yang disahkan selamat masih dibenarkan menghantar ternakan mereka ke rumah sembelihan bagi memastikan bekalan daging babi tidak terjejas di pasaran.
-- BERNAMA
#ladang ternak babi #ASF #Demam Babi Afrika #pulau pinang
;