23 kes strok haba direkodkan setakat ini, dua kes baharu
Ridauddin Daud
Mac 15, 2024 18:24 MYT
Mac 15, 2024 18:24 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 23 kes strok haba dari Minggu Epidemiologi pertama hingga yang terkini, Minggu Epidemiologi ke-11.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, dua kes baharu direkodkan, masing-masing satu kes di Sabah dan Kedah pada 10 dan 11 Mac lepas.
Menurutnya, data itu adalah berdasarkan kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan yang diselia KKM.
“Kalau ikutkan keseluruhan untuk strok haba ini, buat masa sekarang kita ada sejumlah 23 kes.
“Ini yang masuk datang ke fasiliti kita. Ini merupakan jumlah sekarang ini. Jumlah tersebut ada di semua negeri.
“Di Kedah ada, Perak, Selangor, Sabah, Perlis dan juga Pahang (ada kes) buat masa sekarang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran ‘Kick-Off’ Ops Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2024 pada Jumaat yang disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata, daripada 23 kes dilaporkan, terdapat satu kes agak serius sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurutnya, kes tersebut berlaku di Pulau Langkawi, Kedah.
“Ada satu kes kita dapat dalam tahun ini, ada masuk ke dalam ICU sehingga memerlukan bantuan pernafasan tetapi ia dapat diselamatkan sebab dia datang awal,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang awam supaya mengelakkan berada di dalam cuaca panas ketika musim panas sekarang.