23 individu dipanggil bantu siasatan salah guna kuasa Jabatan Air Negeri Sabah

Anthea Yap
Oktober 8, 2016 19:26 MYT
SPRM merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan jenama mewah serta pelbagai jenama dan barang kemas bernilai lebih RM3.3 bilion. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil keterangan 23 individu susulan penahanan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, berkata salah seorang daripada mereka yang dirakam percakapan itu ialah adik kepada pengarah berkenaan.
Menurut beliau, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini kerana SPRM masih dalam proses mengumpul maklumat bagi tindakan lanjut.
Kedua-dua suspek dijangka membantu SPRM dalam proses memindahkan duit dari beberapa bank di luar negara ke akaun mereka di Malaysia dalam masa terdekat melalui bantuan Mutual Legal Assistant (MLA).
SPRM juga akan memanggil pegawai daripada Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah untuk menilai harga gran tanah yang dirampas, pada Isnin.
Antara geran yang dirampas termasuk geran tanah perumahan, pertanian dan juga komersial di beberapa lokasi di Sabah.
Kereta yang dirampas daripada pengarah berkenaan dibeli menggunakan nama syarikat adiknya.
Sementara itu, Azam berkata siasatan juga mendapati timbalan pengarah terbabit membeli sebuah rumah di luar negara.
SPRM sedang menyiasat syarikat yang menguruskan pengaliran wang milik timbalan pengarah itu.
Pada Rabu lalu, SPRM merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan jenama mewah serta pelbagai jenama dan barang kemas bernilai lebih RM3.3 bilion.
#Azam Baki #Jabatan Air Negeri Sabah #Mutual Legal Assistant #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
;