220 cerun kritikal dikenal pasti, 122 berisiko tinggi ketika ini

Abdul Hadi Awang
Disember 21, 2021 17:38 MYT
Sebelum ini, seorang warga emas dilaporkan cedera akibat ditimbus tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, pada Sabtu. - Gambar fail/ Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mengenal pasti sebanyak 220 cerun kritikal di seluruh negara.
Menurut Ketua Pengarahnya, Hisamuddin Termidi, daripada jumlah itu, sebanyak 122 cerun diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dan terdedah dengan kejadian runtuhan khususnya pada musim tengkujuh termasuk di Sungai Penchala dan Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat yang terkesan dengan bencana banjir di Lembah Klang.
Sehubungan itu, pemantauan berterusan akan dilakukan JMG di kesemua lokasi berkenaan.
Katanya, pihaknya juga mempunyai perancangan memasang sistem amaran awal yang dilengkapi dengan siren sebagai langkah awal kepada penduduk untuk menyelamatkan diri.
"Cerun kritikal kalau berdasarkan laman web JMG, ada 220 cerun kritikal di Malaysia yang dipantau oleh JMG, daripada 220 itu, sebanyak 122 adalah diklasifikasikan sebagai 'high risk' atau berisiko tinggi,
"Saya nak sentuh sikit (berkaitan pematauan), perkara itu kita buat pemantauan (berterusan) berkaitan cerun itu, dan tumpuan berkaitan cerun itu, kawasan penting ada beberapa contohnya di Selangor yang berlaku kejadian banjir baru baru ini contohnya di Sg. Penchala dan di (Ulu) Langat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok pada Selasa.
Mengulas mengenai sistem amaran awal, Hisamudin memaklumkan bahawa pihaknya sedang menjalinkan kerjasama bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memandangkan institusi pendidikan berkenaan sudah mendapatkan teknologi dan peralatan dari Jepun bagi tujuan terbabit.
"Harapan kami (JMG) dan (pihak) kementerian (KeTSA), kita (harap) ada (pemasangan) yang dipanggil 'early warning system', kita sudah adakan kerjasama dengan UTM yang telah mendapat teknologi dan peralatan daripada Jepun,
"Kita sudah bincang dengan UTM kita nak pasang di kawasan ini, jadi kita boleh buat penentuan atau ramalan, bila tanah runtuh boleh berlaku dan sebagainya," katanya.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor
Sebelum ini, seorang warga emas dilaporkan cedera akibat ditimbus tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, pada Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.22 pagi.
Setibanya di lokasi kejadian pihaknya mendapati berlaku kejadian tanah runtuh yang turut menghempap empat buah rumah.
#tanah runtuh #cerun kritikal #JMG #pemantauan berterusan
;