22 warga Filipina guna MyKad palsu dipenjara 6 bulan

Nazialita Geynna Maharan
April 12, 2016 15:54 MYT
semua mereka ditangkap dalam operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen Perak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya pada 31 Mac. - Foto Astro AWANI
22 warganegara Filipina dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini setelah mengaku salah atas tuduhan menggunakan MyKad palsu dan kepunyaan orang lain awal bulan ini.
Kesemua mereka terdiri daripada 21 lelaki dan seorang wanita, berusia dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun telah diarah menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 1 April lepas.
Majistret Nur Shaqira Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut setelah kesemua mereka yang merupakan pekerja buruh binaan di kawasan industri di sini mengaku bersalah setelah mengaku faham tentang pertuduhan yang dibacakan kepada mereka dalam bahasa Melayu.
Kesemua mereka yang berbangsa Suluk fasih bertutur Bahasa Melayu dalam dialek Sabah.
Menurut pertuduhan, 15 tertuduh didakwa tanpa kuasa yang sah telah menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri manakala tujuh yang lain telah menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.
Berdasarkan fakta kes, semua mereka ditangkap dalam operasi bersepadu antara Jabatan Imigresen Perak dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya di sekitar Taman Perindustrian IKS, Kampung Acheh 2, Lumut sekitar 6.30 pagi, 31Mac lepas.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya, Mohd Fazdlhy Abdul Razak manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada pagi Selasa, Mohd Fazdhly dalam penghujahannya memohon mahkamah agar mengenakan hukuman
setimpal kepada kesemua tertuduh kerana tindakan mereka masuk ke negara ini boleh dianggap sebagai menghina negara.
Pendakwaan terhadap semua tertuduh dilakukan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh dihukum mengikut peraturan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
#ic palsu #Jabatan Pendaftaran Negara #JPN #Kad pengenalan palsu #Mahjung #warga filipina
;