22 negara Asia setuju kongsi SOP perkemas pengurusan bencana
Bernama
Mac 1, 2015 06:44 MYT
Mac 1, 2015 06:44 MYT
Malaysia dan 21 negara Asia hari ini sepakat berkongsi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan pengurusan bencana di rantau itu diperkemas dalam menghadapi sebarang bencana pada masa depan.
Persetujuan itu dicapai hari ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Forum Perubatan Kecemasan Antarabangsa ke-3 (IMEF), sebuah badan di bawah Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP).
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang antara lain menjelaskan Malaysia turut mengambil peluang untuk membentangkan SOP dan berkongsi pengalaman menangani bencana banjir, pada Mesyuarat Jawatankuasa ICAPP bermula hari ini hingga Selasa.
"Hari ini kita sepakat untuk bantu antara satu sama lain bagaimana untuk menguruskan bencana dan pembangunan selepas bencana.
"Malaysia juga akan berkongsi pengalaman yang kita hadapi semasa banjir buruk Disember lepas dan bagaimana pendekatan yang diambil kerajaan bagi memperbaiki pengurusan bencana termasuk sistem amaran dan pengurusan di pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di Bandar Utama, di sini, hari ini.
Shahidan yang juga Pengerusi Sayap Pemuda ICAPP berkata mesyuarat itu juga memberi peluang Malaysia mempelajari bagaimana negara lain menguruskan bencana seperti yang dilakukan di Filipina, Indonesia, Korea dan Jepun.
Beliau berkata antara perkara lain yang turut dibentangkan oleh wakil pelbagai negara termasuklah kepentingan menjaga sumber air dan hutan, untuk mengurangkan kesan bencana yang lebih buruk.
"Kita ada beberapa negara yang akan membentangkan tentang pengurusan pembalakan dan penanaman semula pokok bagi mengurangkan risiko bencana," katanya.
Sebanyak 85 delegasi dari 22 negara menghadiri persidangan tiga hari itu di One World Hotel, Bandar Utama bermula hari ini sehingga Selasa.
ICAPP adalah persidangan melibatkan parti-parti pemerintah, pembangkang dan bebas di Asia yang dibentuk pada tahun 2000 bertujuan antara lain untuk meningkatkan kerjasama dan persefahaman antara mereka.
Delegasi Malaysia diketuai Shahidan yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, manakala negara lain diwakili pemimpin daripada parti pemerintah dan pembangkang.
Sempena persidangan itu, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh beberapa wakil negara yang pernah mengalami kemusnahan alam disebabkan tsunami, gempa bumi, letusan gunung berapi dan tanah runtuh.