22 motosikal musnah dalam kebakaran awal pagi

Abd Razak Mohd Ali
Mac 3, 2025 09:30 MYT
Menurut bomba, bengkel motosikal terbakar seperti 70 peratus, kedai makan 50 peratus dan 30 peratus masing-masing sebuah bengkel kereta dan kedai kosong.
IPOH: Sebanyak 22 buah motosikal musnah apabila empat buah kedai, termasuk sebuah bengkel motosikal terbakar dalam kejadian di Kampung Tekah Baru, dekat sini, awal pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada jam 5.11 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng, Simpang Pulai dan Ipoh digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan empat buah kedai setingkat jenis kelas B berkeluasan keseluruhan 40’ X 20’ yang musnah terbakar.
“Bengkel motosikal terbakar seperti 70 peratus, kedai makan 50 peratus dan 30 peratus masing-masing sebuah bengkel kereta dan kedai kosong,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, ujarnya, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan sizeup seterusnya mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan tiga aliran 100 kaki tiga pancutan, bersumberkan air dari jentera bomba dan water tanker BBP Ipoh, sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Johari Mohammad tamat jam 6.53 pagi.
#kebakaran #22 motosikal musnah #Kampung Tekah Baru #empat kedai musnah
;