22 loji rawatan air di Sabah bermasalah, perlu ditangani segera - Bung Moktar
Eleanor Michelle Patrick
Januari 22, 2021 21:01 MYT
Januari 22, 2021 21:01 MYT
KOTA KINABALU: Sebanyak 22 loji rawatan air di Sabah mengalami masalah dan perlu diatasi segera bagi memastikan penduduk negeri itu menerima bekalan air bersih.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berdasarkan laporan, Sabah mempunyai 84 loji rawatan air dan 22 daripadanya dikenal pasti mengalami masalah yang teruk sehingga tidak mampu membekalkan air kepada orang ramai.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah mendedahkan antara loji rawatan yang mengalami masalah itu ialah loji air di daerah Tamparuli, Kinabatangan, Tawau, Kunak, Keningau, dan Tenom.
"Masalah yang dialami loji ini apabila musim hujan pun tiada air, kalau kemarau lagi tiada air. Sebab apa kalau musim hujan, kekeruhan dia begitu tinggi dan apabila musim kemarau, air tidak dapat ditadah," katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas mengenai langkah penyelesaian, Bung Moktar berkata, pihaknya melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan membina tangki simpanan di loji yang terlibat.
"Untuk penyelasaian jangka pendek, JANS akan membina tangki simpanan air di loji berkenaan namun bukan semua 22 loji yang bermasalah itu dapat diselesaikan dengan cara berkenaan.
"Bagi mengatasi masalah di loji yang lain, JANS akan membina ‘off river storage’ iaitu satu kolam besar untuk simpanan air sungai,” katanya.
Jelas Bung Moktar lagi, pihaknya juga kini sedang merangka cadangan penubuhan Suruhanjaya Air Sabah bagi mengatasi isu permasalahan air di negeri ini pada masa mendatang.
Tambah beliau lagi, cadangan penubuhan berkenaan akan di bawa ke Kabinet Negeri pada tempoh terdekat.
#Loji rawaran air Sabah
#loji rawatan air bermasalah
#Bung Moktar Radin
#Jabatan Air Negeri Sabah
#Menteri Kerja Raya Sabah
#bekalan air