22 lagi rangka mayat mangsa pemerdagangan manusia dibawa keluar
Adie Sufian Zulkefli
Mei 31, 2015 10:19 MYT
Mei 31, 2015 10:19 MYT
Selepas mengalami kesukaran akhirnya 22 rangka mayat mangsa pemerdagangan manusia berjaya dibawa keluar dari sektor A, Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, malam tadi.
Kesemua 22 mayat itu berjaya dibawa turun ke kaki Bukit Wang Kelian kira-kira jam 9.45 malam.
Mayat kemudiannya dipindahkan ke dalam dua trak Polis Diraja Malaysia, PDRM dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, HSB, Alor Setar.
Kesemua mayat tiba di unit forensik HSB kira-kira jam 11.15 malam untuk tindakan lanjut pakar partologi.
Menurut Ketua Urus Setia Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, ACP Asmawati Ahmad menerusi satu kenyataan, dengan penemuan ini, jumlah rangka mayat yang ditemui semenjak operasi menggali kubur yang dimulakan Isnin lepas adalah 35 mayat.
Pasukan forensik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Pasukan Gerakan AM PDRM akan meneruskan misi menggali dan mengeluarkan rangka mayat di lain-lain lokasi yang telah dikenal pasti.
Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.