22 anggota bomba dikuarantin dalam balai selepas seorang positif COVID-19

Adie Sufian Zulkefli
Disember 7, 2020 16:39 MYT
Seramai 38 pegwai dan anggota di BBP Guar Chempedak diarah menjalani ujian saringan COVID-19.
YAN: Seramai 22 anggota terpaksa menjalani kuarantin di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak selepas seorang Pegawai Bomba Bantuan (PBB) didapati positif COVID-19.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, berkata PBB terbabit sudah dimasukkan ke hospital.
Beliau berkata, berikutan itu semua 38 pegwai dan anggota di BBP Guar Chempedak diarah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu 16 sudah disahkan negatif, manakala selebihnya masih menunggu keputusan.
"Tindakan awal diambil dengan melakukan 'lockdown' (menutup) di balai berkenaan sementara menunggu laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Dalam tempoh terdekat, dua balai iaitu BBP Aman Jaya dan BBP Yan bersedia untuk membantu sekiranya berlaku sebarang kecemasan di kawasan Guar Chempedak," katanya di sini, hari ini.
Sayani berkata, setakat ini pihaknya mengarahkan 22 pegawai dan anggota di BBP Guar Chempedak menjalani kuarantin wajib di balai itu selama 14 hari sehingga keputusan KKM diperolehi.
#bomba #balai #kuarantin #Guar Chempedak #PBB #positif #lockdown #pengarah #bomba kedah #Sayani Saidon
;