218 mangsa penipuan pekerjaan luar negara diselamat, 113 masih terkandas

Irfan Faruqi
Januari 27, 2023 19:00 MYT
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hasan berkata usaha menyelamatkan mangsa terkandas terus digiatkan. - Fail/PDRM
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 262 laporan membabitkan 330 mangsa yang terkandas akibat sindiket penipuan pekerjaan di luar negara.
Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hasan berkata daripada jumlah itu, 218 mangsa telah berjaya diselamatkan manakala 113 lagi mangsa masih terkandas di luar negara seperti di Kemboja, Myanmar, Laos dan negara-negara lain.
"Bagi negara Kemboja yang kita pergi baru-baru ini, setakat 26 Januari, terdapat 114 laporan polis melibatkan 145 orang mangsa. Daripada jumlah mangsa tersebut 116 orang mangsa telah berjaya diselamatkan, dan terdapat 29 orang mangsa masih terkandas," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil daripada misi khas ke Kemboja pada 24 sehingga 27 Januari itu, terdapat lima orang mangsa telah berjaya diselamatkan tetapi sedang ditahan di depoh imigresen negara itu kerana pelanggaran undang-undang imigresen.
Abd Jalil menjelaskan tujuan misi khas tersebut adalah untuk berunding dan memohon kepada pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan dan menyelamat mangsa-mangsa yang masih terkandas. Selain itu, bagi rundingan mempercepatkan proses menghantar pulang mangsa yang berjaya diselamatkan.
Misi itu juga bagi mempertingkatkan kerjasama dan koordinasi bantuan menyelamatkan mangsa pada masa akan datang. Pihaknya turut menyelaras penyiasatan bersama bagi membanteras jenayah penipuan kerja di kedua-dua negara. Disamping itu, kerjasama berterusan dari segi perkongsian maklumat dan data akan diperkasakan.
"Hasil perbincangan dengan Ketua Polis dan Ketua Pengarah Imigresen, serta wakil-wakil pihak tertinggi kerajaan Kemboja, kita telah mewujudkan kerjasama yang amat baik. Kita yakin kerjasama ini telah dapat menguraikan apa juga masalah-masalah yang mengguris hati pihak sebelah sana." tambahnya lagi.
Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Abd Jalil disertai empat orang pegawai kanan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran - ATIPSOM) Bukit Aman.
Selain daripada itu ia turut disertai oleh wakil daripada Kementerian Luar iaitu Setiausaha Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Devrin Anak Jeck, dan juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.
#Kementerian Luar #sindiket #penipuan peluang pekerjaan #PDRM
;