214,687 rakyat Malaysia ikrar derma organ

Bernama
Februari 13, 2013 13:50 MYT
Rakyat Malaysia dilihat semakin optimis memberi respons terhadap pendermaan organ yang sebelum ini seringkali menimbulkan ketakutan dan stigma negatif, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata perkembangan positif itu dibuktikan menerusi peningkatan jumlah individu yang membuat ikrar atau mendaftar untuk menderma organ yang dicatatkan sejak 1997 sehingga Januari tahun ini, iaitu seramai 214,687 orang.
"Jumlah itu satu perkembangan yang positif kerana ia menghampiri sasaran kita untuk mencapai jumlah penderma seramai 287,000, iaitu satu peratus dari bilangan penduduk negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata pengikrar yang paling ramai mendaftar direkodkan terdiri daripada golongan belia berusia 21 hingga 30 tahun iaitu seramai 83,700 orang, diikuti golongan berusia 31 hingga 40 tahun seramai 46,908 orang, 11 hingga 20 tahun (34,585 orang), 51 hingga 60 tahun (12,772 orang), 61 hingga 70 tahun (3,323 orang) dan lain-lain 3,512 orang.
Katanya daripada jumlah keseluruhan pendaftar itu, seramai 52.3 peratus terdiri daripada bangsa Cina, 23.9 peratus bangsa India dan 20.7 peratus bangsa Melayu.
Selain itu Lee berkata pendaftaran menderma organ secara online yang diperkenalkan pada Oktober tahun lalu turut menerima sambutan apabila seramai 6,061 pengikrar telah direkodkan sehingga awal tahun ini.
Katanya peningkatan jumlah pendaftar dipercayai berpunca daripada tahap kesedaran yang semakin jelas penderma dan waris si mati mengenai pentingnya menderma organ kepada pesakit yang memerlukannya.
Jelasnya, fenomena positif itu juga menunjukkan usaha dan kempen berterusan tentang pendermaan organ yang dijalankan pihaknya bersama pelbagai sektor termasuk kerajaan dan swasta di negara ini memberi impak yang diharapkan.
Sementara itu, Ketua Pengurus Pusat Sumber Transplan Nasional Datin Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor mengingatkan pendaftar atau pengikrar untuk menderma organ memaklumkan anggota keluarga mereka terlebih dahulu bahawa mereka telah berdaftar dan merupakan pemegang kad penderma organ.
Ini kerana katanya banyak kes berlaku apabila pengikrar yang ditimpa kemalangan dan meninggal dunia tidak dapat menderma organ mereka kerana tidak mendapat kebenaran daripada waris penderma.
"Jumlah pemegang kad penderma organ semakin ramai namun mereka yang benar-benar menderma organ adalah sedikit ekoran faktor tidak mendapat kebenaran daripada waris penderma.
"Justeru, pengikrar diminta untuk memaklumkan kepada ahli keluarga mereka agar niat murni mereka untuk membantu menyelamatkan orang lain dapat diteruskan tanpa halangan," katanya.
#derma organ #Lee Lam Thye #stigma
;