21 warga Bangladesh ditahan, menyamar jadi atlet untuk masuk Malaysia
Bernama
Oktober 6, 2024 20:15 MYT
Oktober 6, 2024 20:15 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket menyeludup masuk warga asing dengan menyamar sebagai ahli sukan dengan penahanan 21 warga Bangladesh di Maluri, Kuala Lumpur, Khamis lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam kenyataan hari ini berkata tiga daripada yang ditahan dalam operasi pada 10.38 pagi itu dipercayai dalang sindiket.
"Dua lelaki terbabit memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) manakala seorang lagi didapati tinggal lebih masa di negara ini. Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 33 tahun.
"Pasukan operasi merampas 18 pasport Bangladesh, wang tunai RM990 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan beserta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu," katanya.
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah membawa masuk warganegara asing terutama warga Bangladesh dengan menyamar sebagai ahli sukan dengan berpakaian sukan.
"Sindiket turut menempah tiket untuk pulang semula ke Bangladesh dan menempah bilik di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan semasa masuk ke Malaysia untuk mengaburi pihak berkuasa.
"Kadar bayaran yang dikenakan oleh sindiket ialah RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap orang," katanya sambil menambah sindiket itu dipercayai beroperasi selama empat bulan.
Zakaria berkata kesemuanya dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau berkata dua lelaki tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA