21 terbabit nahas 6 kenderaan, seorang wanita maut
Dewi Nur Harasha Alias
September 10, 2023 10:15 MYT
September 10, 2023 10:15 MYT
NIBONG TEBAL: Seorang maut, enam lagi cedera manakala 14 selamat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk dua treler di Kilometer 164.8 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bukit Minyak Sungai Bakap , Pulau Pinang awal pagi Ahad.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang seramai 21 individu terlibat dalam kemalangan tersebut.
Katanya,sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan kira kira jam 4.30 pagi.
Sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan dua treler salah satunya membawa muatan kayu telah terbalik dan menyebabkan empat kenderaan lain terbabit nahas.
"Terdapat beberapa mangsa tersepit di dalam kenderaan yang terlibat dan anggota kemudian melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
"Seorang mangsa disahkan meninggal dunia, seorang parah, lima cedera ringan manakala 14 termasuk pemandu treler selamat," katanya hari ini.
Mangsa yang maut dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Jelasnya, operasi menyelamat masih lagi dijalankan untuk memastikan tiada lagi kenderaan atau mangsa yang tertimbus di bawah longgokkan kayu berkenaan.