21 tan daun tembakau virginia seludup bernilai lebih setengah juta dirampas
Bernama
Januari 18, 2024 15:35 MYT
Januari 18, 2024 15:35 MYT
KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) merampas 21 tan daun tembakau jenis virginia bernilai RM650,000 di sebuah stor di Perak dalam satu operasi bersepadu 3 Jan lepas.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Zailani Hashim berkata rampasan berkenaan adalah yang terbesar dalam tempoh tiga tahun berbanding RM111,421 pada 2022 dan RM291,133 pada 2023.
Beliau berkata rampasan di Lorong Pengkalan 7, Pengkalan Lahat, Ipoh itu dilakukan selepas tiga minggu risikan melalui kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Pasukan Gerak Am.
"Daripada siasatan yang dijalankan terhadap seorang lelaki berusia 40-an dipercayai pemilik stor, kita dapati daun tembakau yang diseludup melalui sempadan utara negara itu disimpan dalam stor berkenaan sebagai transit sejak tiga minggu lepas dipercayai akan dijual secara tidak sah kepada pengilang rokok di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat LKTN, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah LKTN Wan Baharuddin Wan Ismail.
Zailani berkata semua daun tembakau jenis virginia dengan harga pasaran sekitar RM30 setiap kilogram itu dirampas dan kes disiasat di bawah Seksyen 51 (1) Akta LKTN 2009 (Akta 692) yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA