21 peratus rakyat Malaysia sertai koperasi tahun lepas - Ewon

Bernama
September 4, 2024 04:15 MYT
Ewon berkata sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah RM17.45 bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM165.9 bilion. - Foto fail/BERNAMA
MELAKA: Kira-kira 21 peratus atau 7.22 juta rakyat Malaysia menyertai 15,809 koperasi di seluruh negara tahun lepas, fakta jelas yang menunjukkan bahawa gerakan itu merupakan suatu entiti yang amat diyakini oleh rakyat, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata sumbangan gerakan koperasi melalui pengumpulan modal syer dan yuran adalah RM17.45 bilion dan penjanaan aset pula berjumlah RM165.9 bilion.
"Sementara itu sumbangan perolehan koperasi mencecah RM64.56 bilion yang menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2024 yang dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini malam tadi.
Ewon berkata gerakan koperasi terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara apabila berjaya menceburi pelbagai aktiviti perniagaan seiring dengan permintaan dan keperluan masyarakat serta perubahan teknologi.
Mengenai gerakan koperasi di Melaka pula, beliau berkata ia mempunyai potensi besar sebagai ejen membasmi kemiskinan dalam mencapai hasrat negeri itu "Menuju Negeri Lestari" pada 2035.
Beliau berkata Melaka mempunyai 487 koperasi dengan keanggotaan sekitar 178,000 orang dan berjaya merekodkan perolehan sebanyak RM156 juta.
-- BERNAMA
#koperasi #rakyat Malaysia #Ewon Benedick #Apresiasi Gerakan Koperasi 2024
;