21 duta dilantik promosikan Langkawi Global Geopark
Bernama
Februari 28, 2016 07:24 MYT
Februari 28, 2016 07:24 MYT
Seramai 21 duta geopark dilantik pada Ahad sebagai satu lagi langkah dalam mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai Global Geopark yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Tan Sri Khalid Ramli berkata duta yang merupakan rakyat tempatan dan menetap di sini itu terdiri daripada pengusaha hotel, pemimpin masyarakat, anggota badan bukan kerajaan dan individu yang mempunyai pengetahuan luas dan sikap tanggungjawab terhadap reputasi pulau itu.
"Kami berharap para duta yang dilantik ini akan membantu kami dalam mempromosikan Langkawi sebagai UNESCO Global Geopark dalam kalangan rakyat tempatan dan pelancong," katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan itu dan pelancaran logo baharu Langkawi UNESCO Global Geopark di sini.
Beliau berkata kejayaan Langkawi dalam mengekalkan statusnya sebagai global geopark itu adalah penting dalam pembangunannya sebagai geopelancongan dan ekopelancongan yang akan terus menjadi penyumbang utama dalam menarik pelancong.
"Selain mempromosikan pembangunan ekosistem, pendidikan dan kesedaran, apa yang lebih penting ialah penyertaan komuniti dalam memastikan bahawa mereka akan mendapat lebih banyak manfaat dan kehidupan yang lebih baik dengan adanya status global geopark ini," katanya.
Menurut definisi yang diterima pakai Unesco, geopark ialah sesuatu kawasan yang terdapat tapak warisan geologi yang boleh digunakan secara mapan, serta menggalakkan kesejahteraan ekonomi penduduknya.
Langkawi diberikan status global geopark oleh UNESCO menerusi Global Geopark Network (GGN) buat pertama kalinya pada Jun 2007 sebelum berjaya mengekalkan status itu selepas melalui dua latihan pengesahan yang diadakan empat tahun sekali pada 2011 dan 2015.