21,338 warga asing miliki PLKS palsu diburu

Irwan Muhammad Zain
April 7, 2021 15:27 MYT
Hasil kegiatan yang dilakukan sejak tahun lalu dianggarkan kira-kira 21,338 pas PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 sehingga RM8,000 bagi setiap PLKS. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen percaya terdapat penglibatan kakitangan agensi itu yang membantu sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mendedahkan, hasil kegiatan yang dilakukan sejak tahun lalu dianggarkan kira-kira 21,338 pas PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 sehingga RM8,000 bagi setiap PLKS.
"Setakat ini saya difahamkan belum ada pegawai yang ditahan tetapi saya percaya ada penglibatan pihak dalaman dan bergantung kepada siasatan oleh SPRM.
"Sekiranya ada tangkapan d ikalangan pegawai-pegawai Imigresen, tidak ada kompromi dari jabatan, kerjasama sepenuhnya untuk mencari pegawai-pegawai ini berada akan diberikan kepada SPRM," katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut Khairul Dzaimee, bekas pegawai Jabatan Imigresen antara yang bersekongkol dengan ahli perniagaan bergelar Datuk yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengeluaran PLKS palsu.
Jelas beliau, hasil kegiatan yang dilakukan sejak tahun lalu dianggarkan kira-kira 21,338 pas PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 sehingga RM8,000 bagi setiap PLKS.
“Kita akan mengesan kesemua pemilik-pemilik PLKS yang tidak sah tersebut menerusi operasi-operasi yang sedang giat dijalankan.
“Mana-mana warga asing yang didapati menggunakan PLKS palsu ini kita akan senaraihitamkan serta-merta,” katanya lagi.
[TERKINI] Sidang media khas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Pengarah Imigresen
Manakala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki menjelaskan kesemua lima individu yang ditahan berusia antara 33 hingga 43 tahun itu kini direman selama enam hari.
Jelas beliau kesemua mereka siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Pada Selasa, media melaporkan sindiket pengeluaran PLKS palsu tumpas dengan penahanan lima individu termasuk seorang bergelar Datuk disekitar Kuala Lumpur.
Operasi SPRM dengan kerjasama Imigresen dapat merungkai kegiatan sindiket itu yang menyebabkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.
Godam sistem Imigresen | Ketua sindiket bergelar Datuk antara lima individu ditahan
#jabatan imigresen #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM #Khairul Dzaimee Daud #Azam Baki
;