2024 menandakan pencapaian penting hubungan Malaysia-China - ACCCIM

Bernama
Disember 31, 2023 04:30 MYT
Lu berkata, pelaksanaan langkah pengecualian visa bersama antara Malaysia dan China telah memudahkan pertukaran dan pergerakan antara kedua-dua negara.
KUALA LUMPUR: Tahun 2024 akan menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia serta China, yang merupakan satu peristiwa penting, kata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).
Presiden ACCCIM Tan Sri Senator Lu Cheng Chuan berkata "hubungan Malaysia-China sedang berada pada tahap terbaik dalam sejarah".
"Khususnya, pelaksanaan langkah pengecualian visa bersama antara kedua-dua negara telah memudahkan pertukaran dan pergerakan antara kedua-dua negara.
"Ini akan memperdalamkan lagi pertukaran antara Malaysia dan China, selain terus meningkatkan perkongsian strategik komprehensif kepada komuniti dengan masa depan yang dikongsi bersama," katanya dalam perutusan Tahun Barunya, semalam.
Beliau berharap kerajaan akan terus membangunkan Malaysia yang lebih baik serta membina ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing di bawah rangka kerja "naratif ekonomi yang makmur".
Ini termasuk Pelan Hala Tuju Transformasi Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai masa depan rendah karbon dan Pelan Tindakan Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menggalakkan transformasi perindustrian generasi baharu dalam era perindustrian hijau.
Beliau berkata, di hadapan cabaran serta peluang bagi rakyat Malaysia termasuk komuniti perniagaan, perniagaan perlu terus meneroka peluang pembangunan terkini dalam bidang inovasi dan membina dorongan baharu untuk pusingan seterusnya ekonomi Malaysia.
Katanya lagi, 2024 juga akan menyaksikan ACCCIM menjadi hos Persidangan Usahawan Cina Sedunia ke-17 di Kuala Lumpur mulai 9 hingga 11 Sept, 2024, ia merupakan pentas antarabangsa yang memberi tumpuan kepada usahawan China global yang akan memainkan peranan untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
Mengimbas kembali tahun 2023, Lu berkata situasi geopolitik global kekal bergelora, dengan perang Rusia-Ukraine dan Israel-Palestin masih belum berakhir.
"Pada masa ini, negara kita masih menghadapi pelbagai cabaran ekonomi.
"Terdapat juga jangkaan untuk pembaharuan daripada rakyat. Bagaimana dalam melaksanakan reformasi institusi, membina semula sistem serta terus mengejar garis pemerintahan yang sederhana dan rasional. Kerajaan mesti menunjukkan keazaman termasuk memberi respons terhadap harapan awam," tambah Lu.
-- BERNAMA
#Hubungan dua hala #Diplomatik #ekonomi #Malaysia-China
;