2023 bukan tahun kejar bajet positif, perlu peruntukan lebih besar - Onn Hafiz
Bernama
Februari 6, 2023 18:21 MYT
Februari 6, 2023 18:21 MYT
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan peruntukan Bajet 2023 yang lebih besar supaya dapat merangsangkan lebih banyak aktiviti ekonomi sekali gus membantu rakyat.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ini kerana 2023 adalah tahun yang paling mencabar bukan sahaja kepada ekonomi dan rakyat negara ini malah juga seluruh dunia.
"Pada masa sama, saya nak syorkan tahun ini bukan tahun mengejar sebuah belanjawan yang positif. Saya minta maaf. Tahun in tahun mencabar. Kesusutan, kemelesetan di seluruh dunia, peperangan Ukraine dan Rusia.
"Ada implikasi ekonomi kepada negara. Harga barang tengah naik. Syor saya, langkah untuk mendapat sebuah belanjawan yang positif tahun ini kita (perlu) tunggu sikit (masa). Tahun depan mungkin tempoh yang lebih baik," katanya ketika berucap pada majlis dialog Belanjawan 2023 peringkat Johor di Kota Iskandar, di sini, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Azmi Rohani.
Semasa sidang media, Onn Hafiz berkata pihaknya berpandangan sekiranya Bajet 2023 dikecilkan berbanding belanjawan yang pernah dibentangkan sebelum ini, ia akan turut memberi kesan di peringkat bawah khususnya bagi Johor.
"Kami risau sekiranya belanjawan dipotong dan menjadi kurang berbanding sebelumnya. Jika itu berlaku, akan ada kesan domino kepada pembangunan, ini kerana ada banyak perkara yang diminta Johor.
"Hampir 11 perkara yang diminta, jadi kita berharap permohonan tersebut boleh dipertimbangkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini," katanya.
Johor memohon beberapa projek utama menerusi Bajet 2023 termasuk penambahan enam lorong daripada empat lorong bagi laluan Yong Peng-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan, pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2, projek tebatan banjir dan menaik taraf sekolah di negeri ini.
Selain itu, kerajaan negeri juga memohon kerajaan Persekutuan mempertimbangkan usaha mengatasi kesesakan yang berlaku sempadan Johor-Singapura.
-- BERNAMA