2022 penuh kesamaran, kerajaan perlu ambil peranan yakinkan rakyat

Madiha Abdullah
Disember 31, 2021 20:36 MYT
Kerajaan perlu cari jalan untuk mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat terutama peniaga, supaya mereka boleh terus berniaga tanpa gangguan dalam fasa pandemik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mengambil kira ancaman varian Omicron yang semakin serius dan kesan bencana banjir, tahun 2022 dilihat samar, terutama dalam menghadapi isu berkaitan ekonomi dan kewangan.
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia, Chris Daniel Wong berpendapat ketika ini peranan penting harus dimainkan kerajaan terutama dalam memulihkan kepercayaan masyarakat, yang sekali gus akan memberi cerminan kekukuhan ekonomi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Usahawan kena ada daya tahan untuk tempoh jangka panjang kerana sudah dua tahun dalam pandemik, kita ingat akan keluar dan masuk fasa endemik.
"Tetapi hakikatnya sekarang kita masuk ke satu fasa lain pula, dengan kemunculan varian baharu. Jadi daya tahan penting untuk usahawan bertahan dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun.
"Manakala kerajaan pula perlu menguruskan dan membaiki kepercayaan rakyat. Banjir yang baru berlaku ini, kita nampak agensi yang terlibat tidak berfungsi secara efisyen mengakibatkan timbul isu kepercayaan terhadap kerajaan.
"Kerajaan perlu cari jalan untuk mengurangkan masalah yang dihadapi rakyat terutama peniaga, supaya mereka boleh terus berniaga tanpa gangguan dalam fasa pandemik," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
Tegasnya, kerajaan perlu mengambil pengajaran apa yang berlaku tahun ini, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali lagi dilaksanakan pada saat rakyat sedang merancang untuk bangkit kembali.
"Semasa PKP kali kedua, banyak perniagaan terjejas kerana rakyat tidak jangka akan ada satu lagi PKP. Kerana itu saya tekankan aspek truth-telling, kepercayaan antara kerajaan dan rakyat supaya kita boleh bekerja seiring untuk bangunkan kembali ekonomi yang jatuh teruk," ujarnya.
Tambahnya, sukar untuk meletakkan keyakinan dan rasa optimis terhadap perkembangan ekonomi kerana kebimbangan Omicron tidak boleh dipandang ringan.
"Sebelum kedatangan Omicron memang kita ada sedikit optimis. Walaupun tidak banyak pelancong masuk tetapi kita nampak ekonomi tempatan ada peningkatan.
"Tetapi dengan varian baharu, sambutan tahun baharu tak dibenarkan, menyebabkan ada peniaga mengalami kerugian. Jadi 2022 nampak samar, tidak boleh agak apa yang akan jadi dalam tempoh 6 bulan akan datang.
"Malah kita juga ada dengar desas desus SOP akan diperketat semula, aliran tunai peniaga pun terkekang tidak ada foreign dollar yang dibelanjakan secara terus. Memang ada pelaburan dalam industri berat dan IT tapi tak nampak wang asing di pihak pengguna.
"Kita harap kerajaan perbanyakkan dialog dengan NGO serta badan-badan perniagaan untuk membolehkan kita teruskan perniagaan dalam keadaan tidak menentu ini," katanya lagi.
#KitaReset | Apa diperlukan bagi jayakan 'reset' menjelang 2022
#Omicron #ekonomi #Malaysia #pandemik #usahawan #varian baharu #Chris Daniel Wong #Dewan Perniagaan Digital Malaysia
;