2020: Politik, COVID-19 dan ekonomi
Mohd Azmi Abdul Hamid
Disember 15, 2020 14:22 MYT
Disember 15, 2020 14:22 MYT
TAHUN 2020 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari lagi. Tidak boleh dinafikan perjalanan sejarah sepanjang tahun 2020 amat luar biasa, dalam negara mahupun di tingkat antarabangsa.
Ketika tirai 2020 dibuka, uforia menyambutnya bukan kepalang. Malaysia diuar-uar dengan Wawasan 2020 sarat segala harapan untuk menempa status negara maju.
Walaupun tahun 2019 sudah mengisyaratkan senario dunia tidak begitu positif, namun masyarakat dunia teruja dengan tahun 2020. Tepat 12.00 malam pada 31hb Disember 2019 seluruh kota di dunia merayakan sambutan 2020 dengan luar biasa. Harapan pertumbuhan, kemakmuran dan kemajuan menjadi unjuran para ahli ekonomi.
Akan tetapi tidak ada yang menyangka tahun 2020 akan membawa musibah yang melanda dunia pada skala luar biasa parahnya. Yang jelas tahun 2020 berwajah serba kritikal dan tidak menentu.
Bermula tahun 2020 ini, landskap politik negara berubah di luar dugaan. Harapan bertukar menjadi pengkhianatan. Ia kemudian berlanjutan kepada perampasan kuasa. Lonjakan besar ketika PRU14 bertukar mendadak selepas reformasi 22 bulan terenjat oleh konspirasi politik penuh drama. Melompat wadah parti politik menjadi-jadi sehingga pakatan baharu dimunculkan. Selanjutnya politik negara kembali kepada pergelutan dan percaturan yang melelahkan. Politik menjadi medan perebutan kuasa. Rakyat menyaksikan ahli politik saling menjatuhkan. Akhirnya kerajaan baharu didirikan dan mandat rakyat diketepikan.
Tidak kurang mencemaskan ialah drama politik dunia juga bergolak sangat meruncing. Pilihanraya presiden Amerika Syarikat (AS) bergelora dengan sangat sengit dalam tahun 2020 ini. Buat kali pertama politik AS tegang dan sarat dengan isu dalaman (salahguna kuasa, pertembungan sengit puak Demokratik dan Republikan) untuk merebut Rumah Putih. Isu suprimasi kulit putih mencetuskan gerakan Black Lives Matter di AS yang menyaksikan ratusan ribu turun ke jalanan.
Tahun ini menyaksikan AS mencatur politik Asia Barat dengan pelan "Deal of the Century" untuk mengukuhkan kedudukan Israel. Lebih berat lagi tahun 2020 menyaksikan negara UAE, Bahrain, Sudan dan Maghribi mengumumkan hubungan diplomatik (normalisasi) dengan israel. Pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin disaksikan dalam tahun 2020 ini.
Demikian juga sepanjang 2020, kebangkitan rakyat tercetus di Perancis, Greek, Lebanon, Russia, Argentina, Chile, Venezuala, Mesir, Libya, Tunisia dan Senegal. Di sebelah timur, Thailand dan Hongkong terus bergolak. Demikian juga di Nigeria, Sudan dan Israel. Politik setiap negara tersebut bergolak dengan tuntutan agar Presiden, Perdana Menteri dan pemerintah diturunkan.
Di India jutaan rakyat turun ke jalanan menentang undang-undang kewarganegaraan dan undang-undang mengenai hasil petani.
Beberapa pilihanraya negara di Afrika dilaksanakan pada tahun 2020 yang menyaksikan rakyat turun berdemonstrasi menolak keputusan pilihan raya kerana mendakwa pemerintah melakukan penipuan.
Sementara itu isu penindasan etnik terus tegang sepanjang 2020 seperti Kashmir, Rohingya dan Uyghur. Penindasan, penafian hak dan pelanggaran hak manusia ke atas rakyat minoriti berpanjangan pada tahun 2020.
Sementara itu kehancuran terus berlaku akibat konflik di Syria, Yemen , Iraq dan Afghanistan. Perang tercetus antara Azerbaijan dan Armenia. Mutakhir ialah konflik antara Ethopia dan pejuang Tigray. Arab Saudi terjebak dalam peperangan di Yemen dan memutuskan hubungan dengan Qatar dan berterusan bermusuhan dengan Iran.
Juga tahun ini menyaksikan perang sivil di Libya yang sangat meruncing. Manakala 2020 juga memperlihatkan perang perdagangan antara Amerika dan China yang menjejaskan ekonomi dunia. Tahun ini ditambah lagi dengan memperlihatkan keadaan tegang di Laut China Selatan bila China mengambil langkah menghantar kapal perang di lautan yang dipertikaikan itu.
Kemudian secara mendadak pandemik COVID-19 meledak. Walaupun berita coronavirus mulai kedengaran di China dihujung 2019, tiba-tiba bulan Mac 2020 menjadi titik bermula suatu babak pandemik diluar jangka persis tsunami yang melanda seluruh dunia merentas sempadan di 218 negara.
Sehingga rencana ini ditulis lebih 73 juta warga dunia dijangkiti COVID-19, lebih 1.6 juta orang maut. Bermula di China , Korea Selantan COVID-19 merebak ke Itali, UK, Perancis, Turki, Jerman, Portugal, Rusia, AS, Canada. COVID-19 merebak pantas di Brazil dan India sehingga ke Australia, New Zealand, Indonesia, Singapore dan Malaysia. Semua negara berebut untuk mendapatkan vaksin. Tahun 2020 akan dicatat sebagai tahun pandemik terburuk sejak selesema Sepanyol tahun 1918.
Akibat rantaiannya tidak dapat dibendung. Sempadan negara-negara ditutup. Pergerakan rakyat dibatasi. Konsumpsi turun mendadak. Akibat COVID-19, ekonomi dunia tahun 2020 lumpuh. Jutaan hilang pekerjaan. Kelembapan ekonomi melanda seluruh dunia. Pertumbuhan terencat dan bajet negara terjejas. Stimulus berbilion dolar terpaksa dibelanjakan. Hutang dalam dan luar negara melonjak. Ekonomi dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih.
Tidak kurang mencemaskan ialah kualiti alam sekitar sepanjang 2020 semakin buruk. Taufan, kebakaran berskala besar, gempa bumi dan banjir yang memusnahkan serta kecairan khutub yang mencetuskan krisis dunia. Krisis alam sekitar yang memburuk sehingga perubahan cuaca menjadi lebih parah sepanjang tahun 2020.
Banyak yang perlu diambil iktibar dari tahun 2020. Keangkuhan dan kedegilan menghasilkan fasad di darat dan di laut oleh tangan manusia sendiri. Apakah tahun 2021 akan lebih menjanjikan keselesaan?
* Penulis merupakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#tahun 2020
#negara maju
#COVID-19
#krisis politik
#Wawasan 2020
#ekonomi
#Black Lives Matter
#Palestin
#kebangkitan rakyat
#Deal of the Century
#Amerika Syarikat
#undang-undang
#demonstrasi
#pilihan raya
#penindasan etnik
#Laut China Selatan
#perang sivil