202 hektar sawah di Selangor akan 'tiru' kaedah penanaman di Sekinchan - Exco

Bernama
Januari 27, 2024 09:40 MYT
Menurut data Perangkaan Agromakanan 2018, Sekinchan mempelopori hasil padi tertinggi dalam negara apabila merekodkan 12 tan setiap hektar berbanding negeri lain sekitar empat tan. - Gambar hiasan/BERNAMA
SEKINCHAN: Kira-kira 202 hektar tanah sawah di bahagian utara Selangor akan terlibat dengan penanaman menggunakan formula kejayaan penghasilan padi di Sekinchan sebagai usaha meningkatkan hasil pengeluaran beras tempatan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata penanaman di sekitar kawasan Kuala Selangor dan Sabak Bernam itu merupakan langkah permulaan kerajaan negeri bagi menghasilkan makanan ruji negara yang berimpak tinggi.
Ng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan serta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail merangkap ADUN Sungai Air Tawar sebelum ini ditugaskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari untuk meneliti kaedah mengembangkan formula penanaman padi di Sekinchan ke lokaliti berkenaan.
Menurut Ng, beliau bersama-sama Rizam akan memilih beberapa kawasan di utara Selangor sebagai projek perintis kaedah penanaman padi 'Ala Sekinchan' sebelum diperluas ke seluruh negeri.
"Kita teroka beberapa kawasan di sini untuk dijadikan kawasan berkelompok, kita tidak akan ambil semua. Bagi permulaan, kita akan ambil 202 hektar dahulu," katanya kepada Bernama.
Selain penggunaan teknologi moden dan sistem saliran bersepadu, Ng berkata disiplin dan ketelitian petani juga menjadi faktor menjadikan Sekinchan muncul sebagai pengeluar hasil padi tertinggi serta berkualiti dalam negara, iaitu antara enam hingga 12 tan metrik sehektar bagi satu musim.
"Sikap petani itu sendiri sangat penting dalam menghasilkan padi yang berkualiti selain amalan 3T (tanam, tinggal dan tuai) memang tidak dipraktikkan di sini. Petani di sini berbilang bangsa, semua berjaya kerana ada disiplin," katanya.
Malah, katanya rata-rata pesawah menggunakan jentera penanam padi (transplanter) yang menjadikan proses penanaman lebih mudah, cepat dan teratur serta dapat mengelakkan daripada terjadinya padi angin selain penggunaan dron untuk membaja.
"Dari segi sistem saliran, bekalan air (di sini) lebih tersusun dan sempurna berbanding kawasan lain, itu kelebihan tempat ini yang ditinggalkan sejak zaman penjajahan British dahulu," katanya.
Berdasarkan data Perangkaan Agromakanan 2018 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Sekinchan mempelopori hasil padi tertinggi dalam negara apabila merekodkan 12 tan setiap hektar berbanding negeri lain sekitar empat tan.
Ng memaklumkan pesawah di Sekinchan juga berjaya menghasilkan benih padi berkualiti pada harga yang lebih tinggi.
"Padi kita benih yang sama (di seluruh negara) daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), cuma pesawah di sini menggunakan benih itu untuk ditanam dan dijadikan benih semula. Hasilnya lebih berkualiti dan harganya lebih tinggi sedikit," katanya.
-- BERNAMA
#sawah padi #Sekinchan #padi ala Sekinchan #Ng Suee Lim
;