2013: Pesta demokrasi dalam parti politik

Irwan Muhammad Zain
Disember 27, 2013 16:48 MYT
Tahun 2013 bukan hanya menjadi tumpuan kerana berlakunya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dianggap ibu segala pilihan raya tetapi juga kerana tahun ini beberapa parti utama membuat pemilihan pucuk pimpinan selepas pemilihan yang sepatutnya dibuat pada 2012 ditangguhkan.
Tumpuan utama tentunya diberikan kepada pemilihan UMNO yang mana kali terakhir pemilihan parti diadakan selepas PRU12. Proses Pemilihan UMNO yang lebih terbuka dilihat memberi kesempatan yang terbaik bagi kepimpinan parti tersebut meningkatkan kembali sokongan rakyat untuk kekal memerintah.
Pengarah Kajian Strategi Kepimpinan, Yayasan Kepimpinan dan Strategi Malaysia, (YKSM), Dr Yahya Mat Hassan berpendapat bahawa transformasi UMNO mampu mengangkat lagi parti itu sebagai pejuang agama, bangsa dan negara.
Jelas beliau, sejak ditubuhkan, UMNO terbukti memperjuangkan hak semua tanpa meminggirkan mana-mana kaum.
“Menggunakan kesempatan sepenuhnya, UMNO untuk UMNO, UMNO untuk negara... falsafah perjuangan UMNO adalah untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Dalam perjuangan 46, amat jelas demi kepentingan negara... terangkum isu antara agama,” katanya kepada Astro AWANI.
Pemilihan UMNO kali ini menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO. Begitu juga timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hampir 150,000 perwakilan yang memilih di 191 bahagian UMNO di seluruh negara memilih untuk mengekalkan status qou dalam parti itu dengan memastikan orang `lama' kekal untuk ketiga-tiga jawatan Naib Presiden dan untuk barisan Ahli Majlis Tertinggi pula, majoriti penyandang berjaya mempertahankan jawatan tersebut.
Bagi jawatan naib presiden, tiga penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shaffie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sekali lagi dipilih untuk berada di kerusi tersebut.
Persaingan antara Hishammuddin dan Datuk Mukhriz Mahathir agak sengit, di mana menteri besar Kedah itu memberi saingan yang agak sengit. Muhkriz tewas tipis ditangan Hishammuddin dengan perbezaan sembilan undi.
Bagi Tokoh Wartawan Kebangsaan, Datuk A. Kadir Jasin, kemenangan besar Ahmad Zahid meletakkan beliau sebagai bakal pewaris kepemimpinan UMNO selepas Najib dan Timbalannya Muhyiddin.
Jawatan Ketua Pergerakan Wanita dan Pemuda juga menyaksikan penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Shahrizat dan Khairy Jamaluddin berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing. Sementara Pergerakan Puteri UMNO pula, Mas Ermieyati Samsudin dipilih sebagai ketua yang baharu.
Ramai yang bertanya apakah keputusan pemilihan UMNO ini memberi makna perwakilan menolak tranfomasi dan peremajaan dalam parti?
Sudah tentu kini tanggungjawab untuk melakukan transformasi itu terletak pada bahu muka-muka lama yang dipilih semula ini untuk memastikan UMNO kekal relevan dan mampu terus mendapat kepercayaan pada pilihan raya umum ke-14.
Realitinya, pemilihan kali ini sudahpun memperlihatkan proses transfromasi tersebut apabila pemilihan pucuk pimpinan di lakukan pada peringkat bahagian yang boleh dianggap sebagai peringkat akar umbi dengan jumlah perwakilan yang diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin pula bertambah hampir 10 kali ganda.
Proses transfromasi itu yang diperkenalkan itu sebenarnya telah digerakkan oleh pemimpin-pemimpin yang di pilih semula pada pemilihan semalam dan dengan pengekalan status qou itu, sudah tentu mereka dapat meneruskan kesinambungan agenda perubahan dan peremajaan tersebut.
Kegagalan mereka berbuat demikian dan jika mereka gagal mendengar kehendak dan aspirasi majoriti ahli terutama yang tiada kuasa untuk memilih pemimpin sudah tentu hukuman yang bakal menanti bukannya pada pemilihan UMNO yang akan datang, tetapi pada pilihan raya umum yang akan datang.
Selain UMNO, pemilihan pucuk pimpinan PAS bagi sesi 2013-2015 juga menjadi tumpuan kerana persaingan antara dua kumpulan dalam parti itu. Pemilihan kali ini menyaksikan sekali lagi kumpulan Ulama dan kumpulan Profesional bersaing untuk jawatan utama parti. Pemilihan pimpinan baru PAS dibuat ketika Muktamar Tahunan PAS ke-59.
PAS merupakan parti yang paling sengit dalam pertandingan jawatan tertinggi parti termasuk Timbalan Presiden PAS. Ini petanda yang sihat bahawa ahli-ahli PAS sentiasa mahu melantik pemimpin yang terbaik dan tidak terikat dengan doktrin 'dilarang langkah bendul' dalam budaya kepemimpinan parti.
Seperti juga UMNO, perwakilan PAS memutuskan mengekalkan beberapa muka lama dalam parti itu temasuk bagi jawatan timbalan presiden dimana, Mohamad Sabu sekali lagi dipilih untuk jawatan tersebut menewaskan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Bagi jawatan naib presiden pula, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kembali menduduki jawatan tersebut sekaligus menyaksikan salah seorang penyadang jawatan tersebut, Datuk Mahfuz Omar tersingkir.
Sementara bagi sayap pemuda PAS pula, Suhaizan Kaiat dipilih sebagai ketua yang baru manakala bagi dewan muslimat, Siti Zailah Yusuf mengekalkan jawatan untuk penggal kedua.
Teka-teki mengenai siapa yang akan terus menerajui MCA terjawab setelah Datuk Seri Liow Tiong Lai diumumkan memenangi jawatan presiden MCA yang baharu.
Tiong Lai mendapat 1,186 undi menewaskan Gan Ping Sieu dan Datuk Seri Ong Tee Keat pada pemilihan MCA yang diadakan di Wisma MCA di sini, Sabtu. Gan memperoleh 1,000 undi manakala Ong menerima 160 undi.
Mengiringi Liow ialah Dr Wee Ka Siong yang diumumkan sebagai timbalan presiden parti yang baru.
Beliau menewaskan pesaingnya Datuk Donald Lim Siang Chai dalam pertandingan satu lawan satu dengan mendapat 1,408 undi. Donald Lim memperoleh 927 undi.
Bagi satu lagi parti komponen BN, MIC, pemilihan parti itu menyaksikan Presiden Datuk Seri G.Palanivel dan Timbalannya, Datuk Seri S.Subramaniam menang tanpa bertanding.
Sementara bagi jawatan naib presiden pula, Datuk S.Sothinathan membuat kemunculan semula dalam parti apabila memperoleh jumlah undi tertinggi manakala Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan mempertahankan jawatannya itu dan Datuk S.Balakrishnan dari Johor di tempat ketiga.
Sothinathan, bekas timbalan menteri dan bekas naib presiden serta bekas setiausaha agung parti memperoleh 717 undi, manakala Saravanan meraih 716 undi. Balakrishnan, seorang ahli perniagaan, mendapat 683 undi.
#PAS #pemilihan parti #UMNO
;