200 pengusaha nasi kandar tertekan kehilangan pekerja asing, bimbang perniagaan tidak bertahan

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 23, 2021 15:42 MYT
Pengusaha Nasi Kandar Hameediyah turut terkesan berikutan kehilangan ramai pekerja asing. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Perniagaan hampir 200 pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang berdepan masalah untuk terus bertahan berikutan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya perkerja warga asing.
Meskipun kerajaan sudah membenarkan kebenaran rentas negeri dan ‘dine in’ namun disebabkan tidak mempunyai pekerja yang mencukupi, membuatkan rata-rata pengusaha berasa tertekan dengan situasi tersebut.
Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira 20,000 pekerja asing yang bekerja dalam sektor makanan tersebut di Pulau Pinang berbanding 40,000 orang sebelum pandemik COVID-19.
Berikutan kekurangan pekerja itu, Mohamed Rizdwan berkata ada sebahagian pengusaha restoran nasi kandar masih belum membenarkan pelanggan untuk makan di kedai masing-masing sehingga kini.
"Kita rasa tertekan atas beberapa sebab. Salah satunya adalah kerana SOP yang ditekankan. Kedua adalah pekerja yang tidak cukup untuk memberi servis kepada pelanggan yang hadir terutamanya selepas rentas negeri minggu dibenarkan.
"Walaupun ada pelanggan dari dalam dan luar negeri, tapi pengusaha masih tidak dapat nak 'menjaga' (memantau) mereka kerana tidak cukup pekerja.
"Kami masih belum dapat kelulusan sektor perkhidmatan kerana kerajaan belum buka. Oleh yang demikian, kami menyeru kerajaan untuk menilai semula (situasi) dan membuka ruang untuk pengambilan semula pekerja sektor perkhidmatan untuk restoran," luahnya.
Sehubungan itu, Mohamed Ridzwan, menggesa kerajaan mempercepat dan mempermudahkan urusan kemasukan semula pekerja asing dalam sektor makanan tersebut dalam menyokong kelangsungan perniagaan mereka.
Mengulas lanjut, bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja itu, pihak pengusaha ada membuka peluang dengan tawaran gaji sebanyak RM1,800 kepada rakyat tempatan namun tidak mendapat sambutan kerana ramai yang tidak berminat.
Sementara itu, Pengusaha Nasi Kandar Hameediyah Ahamed Seeni Pakir Abdul Sukkor, 66, berkata, dia turut terkesan berikutan kehilangan ramai pekerja asing.
Lebih menambah cabaran, dia terpaksa membayar kompaun sebanyak RM10,000 kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) minggu lalu.
"Kita dalam keadaan genting sekarang, di mana kita kekurangan pekerja untuk menyediakan makanan dan perkhidmatan tebaik kepada pelanggan.
"Kami (pengusaha nasi kandar) memerlukan pekerja yang ramai untuk mengawasi situasi pelanggan di kedai. Jadi kami amat berharap kerajaan akan membenarkan kemasukan pekerja asing supaya ia boleh mengurangkan beban kami pengusaha nasi kandar untuk memantau pelanggan," katanya.
#nasi kandr #pulau pinang #pengusaha #pekerja asing
;