200 pegawai, anggota JBPM bersiap sedia sepanjang LIMA23

Bernama
Mei 9, 2023 10:17 MYT
Seramai 200 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysiaditugaskan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung di Langkawi pada 23 hingga 27 Mei depan.
ALOR SETAR: Seramai 200 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang akan berlangsung di Langkawi pada 23 hingga 27 Mei depan.
Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, ia melibatkan pegawai dan anggota JBPM dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Putrajaya (ibu pejabat).
"Persiapan semuanya telah dirancang dan JBPM terlibat lebih dalam aspek mencari dan menyelamat (SAR). Fokus utama akan dibahagikan kepada tiga iaitu SAR laut, SAR darat dan SAR udara melibatkan kekuatan pegawai dan anggota seramai 200 orang.
"Pada 17 Mei ini, sebanyak 20 peratus pegawai dan anggota masuk ke Langkawi untuk mula membuat persiapan, termasuk membawa masuk aset JBPM seperti jentera dan peralatan manakala baki 80 peratus lagi akan ke sana pada 21 Mei depan," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka JBPM Kedah di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Sayani berkata pihaknya juga sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang bencana yang mungkin berlaku akibat peralihan Monsun.
"Sekarang kita tengok berlaku peralihan Monsun yang menyebabkan cuaca tidak seimbang...kejap hujan, kejap panas. Keadaan cuaca tidak terlalu ekstrim, kebakaran belukar pun masih dalam keadaan terkawal dan kita memang sentiasa berada dalam keadaan siap siaga," katanya.
LIMA 2023 akan berlangsung daripada 23 hingga 27 Mei bertemakan 'Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia' dan kali terakhir pameran dwitahunan itu dianjurkan adalah pada 2019.
- BERNAMA
#LIMA 23 #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #pameran LIMA #Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi
;