200 lagi Kampung Angkat MADANI pada tahun depan

Bernama
November 2, 2024 04:30 MYT
Johan Mahmood Marican pada Majlis Perasmian Karnival Kampung Angkat MADANI MOF di SK Kampung La di Hulu Besut pada Sabtu. - Foto Facebook Kementerian Kewangan
JERTIH: Kerajaan akan memperluas program Kampung Angkat MADANI kepada 200 kampung pada tahun hadapan berbanding 100 kampung pada tahun ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Marican berkata jumlah tambahan melibatkan peruntukan RM200 juta itu akan dilaksanakan berikutan penerimaan baik yang diterima terhadap pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI oleh pelbagai pihak sebelum ini.
"Peningkatan jumlah kampung angkat pada tahun hadapan itu selaras dengan konsep kerajaan supaya kementerian dan jabatan kerajaan turun ke akar umbi untuk memahami isu-isu asas setempat yang boleh ditangani segera," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Kampung Angkat MADANI Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Hulu Besut dekat sini semalam.
Melalui program itu kementerian dan jabatan yang terlibat termasuk MOF akan cuba memenuhi keperluan penduduk di kawasan masing-masing.
"Bagi kampung angkat di Hulu Besut, MOF telah membina empat Pusat Penempatan Banjir Kekal (PPK) di empat kampung bagi kegunaan penduduk terutama ketika musim banjir.
"Selain itu, sebanyak 25 bot turut disediakan bagi menghadapi banjir kepada 10 kampung di bawah program ini di samping penyediaan pelbagai kemudahan lain yang keseluruhan bernilai RM2.5 juta," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Karnival Kampung Angkat MADANI yang berlangsung bermula Khamis lepas hingga semalam, antara lain memberikan peluang kepada masyarakat setempat menerima pelbagai perkhidmatan kerajaan seperti pemeriksaan kesihatan dan sebagainya.
-- BERNAMA
#Kementerian Kewangan #Kampung Angkat MADANI #Johan Mahmood Marican
;