200 keluarga nelayan di Pasir Gudang terima bantuan bakul makanan YSIJ

Bernama
Oktober 23, 2024 06:30 MYT
Antara komuniti nelayan di Pasir Gudang, Johor, menerima bantuan bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ). - Foto Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
KUALA LUMPUR: Sebanyak 200 keluarga komuniti nelayan di Pasir Gudang, Johor, menerima bantuan bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
Menerusi hantaran di Facebook Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Rabu, sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengurus Kanan YSIJ, Shah Reza Md Kanafe kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz dalam satu majlis di Dewan Kompleks Nelayan Pasir Gudang Baru.
Hantaran itu memaklumkan, sejak tahun 2020, YSIJ sentiasa komited membantu golongan nelayan di seluruh Johor terutama mereka yang terjejas pendapatan akibat musim tengkujuh atau masalah kesihatan.
Hantaran yang sama turut berkongsi reaksi penerima bantuan, Rahim Md Salleh, 59, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang kudung kaki kiri yang menyifatkan bantuan YSIJ sebagai membantu kelangsungan hidup beliau sekeluarga.
"Pendapatan kami sekeluarga tidak tetap kerana bergantung kepada hasil tangkapan yang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini," katanya.
- BERNAMA
#Yayasan Sultan Ibrahim Johor #Bakul Makanan #keluarga nelayan #bantuan
;