200 jemaah hadir majlis bacaan Yasin ulang tahun keputeraan Sultan Perak
Aida Aziz
November 5, 2021 14:26 MYT
November 5, 2021 14:26 MYT
KUALA KANGSAR: Lebih 200 jemaah menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-65 di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan di sini, pada Jumaat.
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan hadir pada majlis yang bermula pukul 12.20 tengah hari itu.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; barisan Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.
Majlis bacaan Yasin dipimpin oleh Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.
Majlis diikuti solat Jumaat dengan 500 jemaah yang didahului dengan khutbah khas dibacakan oleh Imam Utama Masjid Ubudiah, Badrul Husaini Baharuddin.
Khutbah khas tersebut bertajuk Raja Pemerintah; Payung Kedaulatan Negara.
Majlis bacaan Yasin dan doa selamat itu merupakan acara tahunan sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak yang diputuskan pada Jumaat pertama dalam bulan November.
Majlis sama turut diadakan serentak di masjid-masjid seluruh negeri.