200,000 wanita disasar terima vaksinasi HPV

Bernama
Februari 16, 2013 22:32 MYT
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan seramai 200,000 wanita menerima suntikan vaksinasi HPV (Human Papilloma Virus) untuk mencegah kanser pangkal rahim dari Julai 2012 hingga Jun 2014.
Timbalan Menterinya Datuk Noriah Kasnon berkata 39,448 wanita telah menerima suntikan itu antara Julai dan Disember tahun lepas.
Berucap melancarkan program vaksinasi HPV untuk wanita peringkat kebangsaan di sini Sabtu, beliau berkata kanser pangkal rahim merupakan isu kesihatan yang penting dalam kalangan wanita Malaysia.
Menurutnya, kanser pangkal rahim merupakah kanser ketiga paling kerap dihidapi dalam kalangan wanita selepas kanser payu dara dan kolorektal.
Kerajaan pusat, katanya, menyediakan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2012 bagi program vaksinasi itu melalui pembabitan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Vaksinasi HPV secara percuma boleh didapati di kesemua 58 Klinik Nur Sejahtera LPPKN dan 24 Pusat Kesihatan Institusi Pengajian Tinggi yang telah dilantik sebagai rakan pelaksana oleh LPPKN.
#Human Papilloma Virus #kanser #Keluarga dan Masyarakat #Kementerian Pembangunan Wanita #Noriah Kasnon #vaksinasi #wanita