200,000 pekerjaan baharu dalam bidang tenaga hijau menjelang 2030
Bernama
September 20, 2024 20:45 MYT
September 20, 2024 20:45 MYT
SIBU: Sebanyak 200,000 pekerjaan baharu akan diwujudkan apabila Malaysia beralih ke sistem tenaga sifar bersih menjelang 2030, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
"Kebanyakannya akan berlaku di Sarawak kerana kita paling progresif (dalam tenaga hijau). Saya menggesa semua rakyat Sarawak untuk merebut peluang ini.
"Jika anda pakar dalam bidang ini dan anak Sarawak, sudah tiba masanya untuk pulang dan menyumbang tenaga ke arah pembinaan negara. Kita akan membuat perubahan bersama-sama menjelang 2030," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kanowit Waterfront dan Festival Kanowit 2024 di Daerah Kanowit kira-kira 60 kilometer dari ini.
Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
Dr Sim berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengambil peluang daripada peralihan itu untuk Sarawak dengan mempercepat usaha pengeluaran hidrogen, ammonia dan tenaga solar.
"Sebagai ganti diesel, ammonia hijau akan menjadi bahan api utama perkapalan. Kami akan meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam semua tenaga hijau ini dan saya menggesa rakyat kita di Sarawak, terutamanya golongan muda untuk menceburi bidang ini.
"Semua ini adalah bahan api baharu kerana ia adalah 'lautan biru' yang tidak pernah diterokai sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA