20 unit rumah terbakar, 10 keluarga tinggal sehelai sepinggang
Muhafandi Muhamad
September 29, 2018 00:32 MYT
September 29, 2018 00:32 MYT
Sepuluh keluarga dari Jalan Sri Cemerlang di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran malam Sabtu.
Kebakaran yang bermula sekitar jam 8 malam itu memusnahkan 20 unit rumah kayu, namun hanya 10 unit rumah yang didiami.
Menurut Pegawai Operasi, Penguasa Bomba Mohd Farid Ismail tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan kerana penghuni rumah berkenaan sempat menyelamatkan diri ketika api mula merebak.
“Kebakaran melibatkan 20 unit rumah - 10 unit berpenghuni manakala 10 tak berpenghuni. Keluasan kebakaran 60 x 80 meter jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Katanya, sejumlah 30 anggota bomba dibantu empat jentera bomba berjaya mengawal api dari merebak ke bangunan bersebelahan termasuk Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan.
Rumah berkenaan dibina secara rapat menyebabkan kesemuanya terbakar dengan cepat.
Jumlah dan punca kejadian masih dalam siasatan bomba.
Sementara itu, salah seorang penghuni rumah berkenaan memaklumkan api marak dengan pantas sehingga gagal menyelamatkan barangan di dalam rumah.
“Masa nak mandi, nak buka pintu terdengar orang jerit (suruh) turun. (Apabila) ternampak api, saya panggil ibu saya... kalut saya turun,” ujar penghuni unit, Suhaimi Rahman.
Tambahnya, api bermula sekitar jam 8 malam ketika semua penghuni sedang mandi dan menunaikan solat Maghrib.